DUBLIN: Kerajaan Ireland meluluskan penggubalan rang undang-undang untuk mengharamkan import barangan dari penempatan Israel, yang dianggap tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa.
Ia sekali gus satu langkah yang tidak pernah diambil oleh mana-mana anggota Kesatuan Eropah (EU).
Tindakan tersebut dibuat selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan pendudukan Israel di Tebing Barat, Baitulmuqaddis Timur dan Gaza adalah tidak sah di bawah undang-undang tahun lalu, dalam pendapat nasihat kerajaan Ireland sebagai panduan keputusannya.
“Kerajaan bersetuju untuk meneruskan penggubalan undang-undang yang melarang perdagangan barangan dengan penempatan haram di wilayah Palestin yang diduduki.
“Kerajaan berpandangan bahawa ini adalah satu kewajiban di bawah undang-undang antarabangsa,” kata jurucakap Kementerian Luar Ireland kepada AFP.
Penempatan itu termasuk kepentingan kediaman, pertanian dan perniagaan terletak di luar sempadan Israel yang diiktiraf antarabangsa.
Sebelum keputusan Kabinet, Menteri Luar, Simon Harris memberitahu pemberita bahawa beliau berharap negara EU lain akan mengikut langkah Ireland.
“Apa yang saya harapkan hari ini, negara kecil di Eropah membuat keputusan dan menjadi salah satu negara pertama dan mungkin negara pertama di dunia Barat untuk mempertimbangkan perundangan ini.
“Saya berharap ia memberi inspirasi kepada negara Eropah lain untuk menyertai kami,” kata Harris.
Mei lalu, Ireland bersama Sepanyol, Norway dan sebulan kemudian, Slovenia, mengiktiraf Palestin, yang menarik tindakan balas daripada Israel.
Bulan lalu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengumumkan Paris mungkin mengiktiraf negara Palestin seawal Jun.
Langkah Selasa oleh Dublin dilakukan seminggu selepas EU mengarahkan kajian semula Perjanjian Persatuan EU-Israel, perjanjian kerjasama yang ditandatangani pada 1995 yang menjadi asas bagi hubungan perdagangan dengan Israel.- AFP










