Iran, AS mulakan pusingan baharu rundingan nuklear di Rom

Iran, AS mulakan pusingan baharu rundingan nuklear di Rom

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROM: Wakil perunding dari Iran dan Amerika Syarikat (AS) bertemu di Rom pada Jumaat untuk mengadakan pusingan kelima rundingan nuklear, susulan pertikaian terbuka mengenai isu pengayaan uranium oleh Teheran.

Agensi berita rasmi Iran, IRNA melaporkan, rundingan di ibu negara Itali dijadualkan bermula pada pukul 1:00 petang (waktu tempatan).

Rundingan ini diadakan menjelang mesyuarat Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang berpusat di Vienna pada Jun serta tarikh luput perjanjian nuklear 2015 pada bulan Oktober.

Perjanjian yang dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA), bertujuan untuk meredakan kebimbangan Barat bahawa Iran sedang membangunkan senjata nuklear, sesuatu yang dinafikan Teheran secara konsisten.

Rundingan yang sudah bermula sejak April lalu merupakan usaha diplomatik tertinggi antara kedua-dua negara bermusuhan itu sejak AS menarik diri daripada perjanjian nuklear bersejarah 2015 semasa penggal pertama Presiden, Donald Trump.

Selepas kembali berkuasa, Trump menghidupkan semula dasar tekanan maksimum terhadap Iran, menyokong perundingan namun tetap memberi amaran tindakan ketenteraan akan dipertimbangkan sekiranya diplomasi gagal.

Iran pula mahukan satu perjanjian baharu yang dapat meringankan sekatan ekonomi yang menekan negara itu.

Pusingan terakhir rundingan yang berlangsung di ibu negara Oman, Muscat, berakhir dengan pertelingkahan terbuka apabila wakil AS, Steve Witkoff menyatakan Washington tidak akan membenarkan walaupun satu peratus pengayaan uranium.

Pendirian itu dibidas Iran sebagai garisan merah dengan merujuk kepada hak mereka di bawah Perjanjian Non-Proliferasi Nuklear (NPT).

Menjelang rundingan terbaharu itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, masih wujud perbezaan asas dengan AS namun turut menyatakan Teheran bersedia untuk membenarkan lebih banyak pemeriksaan ke atas kemudahan nuklearnya.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN