BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) bakal menyemak semula perjanjian perdagangan dengan Israel susulan keadaan yang disifatkan sebagai berbentuk bencana di Semenanjung Gaza.
Kenyataan itu dibuat Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas tatkala tekanan antarabangsa terhadap pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu terus memuncak ekoran serangan ketenteraan terbaharu rejim itu ke atas wilayah yang dikepung itu.
Menurut Kallas, majoriti besar menteri luar EU yang bermesyuarat di Brussels menyokong agar perjanjian persatuan EU dengan Israel disemak semula selaras dengan perkembangan terkini di Gaza.
“Situasi di Gaza amat dahsyat. Bantuan yang dibenarkan masuk oleh Israel sudah tentu kita alu-alukan, namun ia ibarat setitis air dalam lautan.
“Bantuan kemanusiaan mesti disalurkan dengan segera, tanpa sebarang halangan dan dalam skala yang mencukupi kerana itu yang amat diperlukan ketika ini,” katanya kepada pemberita.
Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, dalam ucapannya di Parlimen turut menyambut baik keputusan EU itu, sambil memaklumkan sebanyak 17 daripada 27 negara anggota menyokong langkah berkenaan.
Kallas juga mendedahkan EU menyediakan sekatan terhadap pendatang haram Israel yang terlibat dalam keganasan, namun pelaksanaannya masih disekat oleh sebuah negara anggota yang tidak dinamakan.
Langkah menyemak semula perjanjian persatuan antara EU dan Israel dilihat sebagai isyarat tegas kepada Tel Aviv agar segera menghentikan kekejaman terhadap penduduk awam Palestin dan membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan.
Perjanjian tersebut sebelum ini menjadi asas kerjasama perdagangan dan politik antara kedua-dua pihak, namun kini dipersoalkan susulan peningkatan jumlah korban serta kemusnahan besar di Gaza. -AGENSI










