England lancar program vaksinasi pertama dunia tangani jangkitan gonorea 

England lancar program vaksinasi pertama dunia tangani jangkitan gonorea 

BAKTERIA Neisseria gonorrhoeae menyebabkan jangkitan penyakit gonorea.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: England bakal mencipta sejarah sebagai negara pertama yang melancarkan program vaksinasi terhadap jangkitan seksual gonorea bermula Ogos ini, menurut pengumuman oleh Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).

Bagaimanapun, vaksin itu tidak akan diberikan kepada semua orang, sebaliknya tertumpu kepada golongan lelaki gay dan biseksual yang mempunyai sejarah berganti-ganti pasangan atau pernah dijangkiti penyakit kelamin.

Vaksin berkenaan yang pada asalnya dibangunkan untuk melawan meningitis B, didapati mampu mengurangkan kes gonorea antara 30 hingga 40 peratus dan diberikan secara percuma melalui pusat perkhidmatan kesihatan seksual.

NHS berharap inisiatif ini dapat membendung lonjakan mendadak jangkitan gonorea di negara itu yang mencatatkan lebih 85,000 kes sepanjang 2023, angka tertinggi sejak rekod dicatatkan pada tahun 1918.

“Situasi sekarang amat membimbangkan, terutama kerana gonorea semakin sukar dirawat disebabkan ketahanan bakteria terhadap antibiotik,” kata Pengerusi Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI), Prof. Andrew Pollard.

Gonorea lazimnya dijangkiti melalui hubungan seks tanpa perlindungan dan suntikan vaksin itu berharga sekitar pound (RM45.85) bagi setiap dos.

Golongan yang terjejas teruk oleh penyakit ini termasuk warga muda berumur antara 16 hingga 25 tahun dan mereka yang berketurunan Afrika-Caribbean.

Klinik juga diberi kebebasan untuk menilai risiko setiap individu dan menawarkan vaksin kepada mereka yang dianggap berisiko tinggi walaupun tidak termasuk dalam kumpulan sasar utama.

Program itu turut menawarkan vaksin lain untuk penyakit mpox, HPV dan hepatitis secara serentak.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN