WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) secara rasmi menarik balik sekatan ekonomi menyeluruh terhadap Syria pada Jumaat, menandakan perubahan dasar dramatik susulan berakhirnya pemerintahan Bashar al-Assad.
Usaha itu turut membuka laluan baharu untuk pelaburan di negara yang lama dilanda peperangan itu.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent dalam satu kenyataan berkata, Syria mesti terus berusaha menjadi sebuah negara yang stabil serta aman dan langkah tersebut diharapkan dapat meletakkan negara itu di landasan menuju masa depan yang cerah, makmur dan stabil.
Langkah ini mengesahkan keputusan yang diumumkan oleh Presiden, Donald Trump minggu lalu.
Semasa lawatan beliau ke Asia Barat, Trump secara mengejut mengumumkan beliau akan menarik balik sekatan kejam dan melumpuhkan era Bashar terhadap Syria sebagai tindak balas kepada desakan dari Turkiye dan Arab Saudi.
Menurut Jabatan Perbendaharaan AS, pelepasan sekatan ini turut merangkumi kerajaan baharu Syria dengan syarat negara itu tidak menjadi tempat perlindungan kepada organisasi pengganas serta menjamin keselamatan minoriti agama dan etnik.
Dalam tindakan selari, Jabatan Negara AS turut mengeluarkan pengecualian khas yang membolehkan rakan kongsi dan sekutu asing terlibat dalam usaha pembinaan semula Syria, sekali gus memberi lampu hijau kepada syarikat-syarikat untuk menjalankan perniagaan di negara itu.
Kebenaran itu meliputi pelaburan baharu di Syria, penyediaan perkhidmatan kewangan serta urus niaga yang melibatkan produk petroleum dari Syria.
Ia juga membenarkan urusan dengan kerajaan baharu Syria dan beberapa entiti yang sebelum ini disekat.
AS sebelum ini mengenakan sekatan meluas ke atas transaksi kewangan dengan Syria sepanjang 14 tahun perang saudara di negara itu dan bertegas menggunakan sekatan untuk menghukum mana-mana pihak yang terlibat dalam usaha pembinaan semula selagi Bashar kekal berkuasa.
Selepas kempen yang diketuai kumpulan Islamis tahun lalu yang menjatuhkan Bashar, kerajaan baharu Syria kini giat membina semula hubungan dengan negara-negara Barat dan berusaha untuk menamatkan sekatan berat yang dikenakan sebelum ini.-AFP










