AS dedah Israel rancang serang kemudahan nuklear Iran

AS dedah Israel rancang serang kemudahan nuklear Iran

REPLIKA loji kuasa nuklear Bushehr milik Iran di sebuah pameran sempena Persidangan Antarabangsa mengenai Sains dan Teknologi Nuklear di Isfahan.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mendedahkan maklumat risikan baharu menunjukkan Israel sedang membuat persiapan untuk melancarkan serangan terhadap kemudahan nuklear Iran ketika pentadbiran Presiden, Donald Trump masih giat berusaha mencapai rundingan diplomatik dengan Teheran.

Lapor CNN beberapa pegawai AS berkata, tindakan itu akan menjadi satu langkah berani menentang dasar Trump dan berisiko mencetuskan konflik serantau lebih besar di Asia Barat yang cuba dielakkan Washington sejak tercetusnya perang di Gaza pada 2023.

Namun menurut pegawai tersebut, belum ada kepastian kepimpinan Israel sudah membuat keputusan muktamad untuk menyerang, malah terdapat perbezaan pendapat dalam kerajaan AS sendiri berhubung kemungkinan serangan itu akan berlaku.

“Namun kebarangkalian Israel menyerang kemudahan nuklear Iran meningkat dengan ketara dalam beberapa bulan kebelakangan ini,” kata pegawai yang mengetahui mengenai risikan itu.

Tambahnya, jika perjanjian nuklear yang dirunding oleh Trump tidak menetapkan penghapusan semua simpanan uranium Iran, Israel mungkin akan memilih jalan ketenteraan.

Kebimbangan itu diperkukuh oleh kenyataan terbuka dan tertutup pemimpin kanan Israel serta komunikasi yang dipintas oleh risikan AS, termasuk pergerakan ketenteraan dan latihan udara yang dilihat sebagai isyarat awal serangan.

Namun, langkah-langkah tersebut juga boleh dianggap sebagai usaha rejim tersebut memberi tekanan kepada Iran supaya menarik balik elemen utama program nuklearnya, sekali gus mencerminkan cabaran diplomatik yang rumit dihadapi Rumah Putih.

Trump sebelum ini mengancam akan menggunakan tindakan ketenteraan jika rundingan nuklear dengan Iran gagal, namun beliau turut menetapkan tempoh tertentu untuk meneruskan usaha diplomasi.

Dalam surat kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei pada Mac lalu, Trump memberikan tempoh 60 hari bagi rundingan tersebut yang kini sudah berlalu tanpa hasil konkrit, walaupun perbincangan masih berterusan sejak lebih sebulan lalu.

Rundingan antara AS dan Iran kini tersekat pada tuntutan agar Teheran menghentikan pengayaan uranium, proses yang boleh membawa kepada pembangunan senjata nuklear namun penting untuk penjanaan tenaga awam.

Utusan khas AS, Steve Witkoff, dalam temu bual dengan ABC News berkata, Washington tidak akan membenarkan walaupun satu peratus keupayaan pengayaan dalam perjanjian yang dirundingkan.

Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei pula membidas syarat tersebut dan menyifatkannya sebagai kesilapan besar, sambil menegaskan Teheran tidak akan sesekali melepaskan haknya untuk memperkayakan uranium di bawah Perjanjian Non-Proliferasi Nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Rundingan dijangka bersambung minggu ini di Eropah, namun menurut sumber CNN, tiada sebarang teks perjanjian yang mendapat persetujuan penuh Trump setakat ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN