Tarif baharu Trump buat pemimpin dunia 'pening'

Tarif baharu Trump buat pemimpin dunia ‘pening’

SEORANG penduduk berusia 71 tahun yang menggelarkan dirinya Daddy Warlocks memegang sepanduk mengkritik tarif ekonomi yang dikenakan Trump di luar Rumah Putih di Washington.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pengumuman tarif baharu secara besar-besaran oleh Presiden Amerika Syarikat ke atas import dari pelbagai negara di seluruh dunia terutamanya China dan Kesatuan Eropah (EU) membuatkan pemimpin global ‘tak senang duduk’ dan mencetus ketidaktentuan pasaran sejak awal semalam.  

Berikut adalah reaksi dari negara-negara yang terkesan:  

EU

Ketua blok 27 negara itu, Ursula von der Leyen menyifatkan tarif yang dikenakan sebagai tamparan besar kepada ekonomi dunia dan menegaskan Brussels sedang bersiap sedia untuk langkah balas  yang tenang dan rasional.   

“Saya amat kesal dengan keputusan ini. Nampaknya tiada aturan dalam kekacauan ini. Tiada jalan yang jelas di tengah-tengah kerumitan dan huru-hara yang tercetus apabila semua rakan dagang AS terjejas. Namun, masih belum terlambat untuk menangani kebimbangan melalui rundingan,” katanya.

Jurucakap kerajaan Perancis berkata, EU bersedia untuk memulakan perang perdagangan dengan AS dan merancang untuk menyasarkan perkhidmatan dalam talian sebagai tindak balas.

China

  Beijing tegas menentang tarif baharu terhadap eksportnya dan berikrar untuk mengambil tindakan balas bagi melindungi hak dan kepentingannya.  

“Tarif AS tidak mematuhi peraturan perdagangan antarabangsa dan secara serius menjejaskan hak serta kepentingan sah pihak yang berkaitan,” kata Kementerian Perdagangan China.  

Jerman

Persatuan Industri Automotif Jerman (VDA) menyatakan bahawa tarif tersebut hanya akan mencipta kerugian.  

“EU kini perlu bertindak secara bersatu dan dengan kekuatan yang diperlukan, sambil terus menunjukkan kesediaan untuk berunding,” kata VDA.  

Industri kimia Jerman yang menjadikan AS sebagai pasaran eksport terbesar, menggesa EU untuk bertenang, dengan menekankan bahawa ketegangan hanya akan memburukkan lagi keadaan.  

Jepun

 Selepas dikenakan tarif AS sebanyak 24 peratus ke atas eksportnya, Menteri Perdagangan Jepun, Yoji Muto, mengkritik langkah tersebut.  

“Tindakan tarif unilateral oleh AS ini amat dikesali dan saya sekali lagi menggesa Washington untuk tidak mengenakan langkah ini ke atas Jepun,” katanya.  

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshimasa Hayashi berkata, tarif tersebut mungkin melanggar peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan perjanjian perdagangan antara kedua-dua negara.  

United Kingdom (UK)

“UK akan tetap tenang dan komited untuk mencapai perjanjian ekonomi dengan AS yang dapat membantu mengurangkan kesan tarif 10 peratus ke atas eksport Britain.

“Namun, tiada apa yang dikecualikan. Kami mempunyai pelbagai alat di tangan dan tidak akan teragak-agak untuk bertindak,” kata Menteri Perniagaan, Jonathan Reynolds.    

Itali

  Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, mengkritik tarif baharu AS ke atas import dari EU dan menggesa penyelesaian, memberi amaran bahawa perang perdagangan hanya akan melemahkan negara-negara Barat.  

“Pengenaan tarif oleh AS ke atas EU adalah langkah yang saya anggap salah dan tidak menguntungkan mana-mana pihak. 

“Kami akan melakukan segala yang termampu untuk mencapai perjanjian dengan AS bagi mengelakkan perang perdagangan yang pastinya akan melemahkan Barat dan memberi kelebihan kepada kuasa global lain,” katanya. 

Kanada

  Perdana Menteri Kanada, Mark Carney memberi amaran bahawa tarif tersebut akan mengubah sistem perdagangan global secara asas.  

“Kami akan melawan tarif ini dengan tindakan balas. Kami akan melindungi pekerja kami,” katanya.  

Brazil

Kongres Brazil meluluskan Undang-Undang Timbal Balas Ekonomi yang membenarkan kerajaan bertindak balas terhadap tarif 10 peratus ke atas eksport dari ekonomi terbesar Amerika Latin itu.  

Undang-undang ini diluluskan sebulat suara oleh Dewan Perwakilan selepas menerima kelulusan Senat.  

Brazil merupakan pengeksport keluli kedua terbesar ke AS selepas Kanada, dengan penghantaran sebanyak empat juta tan pada tahun 2024.  

Australia

 Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese menyatakan bahawa tarif baharu itu ‘bukan tindakan seorang rakan’ dan akan menjejaskan hubungan erat antara kedua-dua negara.  

“Tarif ini bukan sesuatu yang mengejutkan, tetapi biar saya jelaskan, ia sama sekali tidak wajar,” katanya.  

Switzerland

  Selepas Switzerland dikenakan tarif sebanyak 31 peratus, Presiden, Karin Keller-Sutter berkata, kerajaan akan segera menentukan langkah seterusnya.  

“Kepentingan ekonomi jangka panjang negara menjadi keutamaan. Hormat terhadap undang-undang antarabangsa dan perdagangan bebas adalah asas utama,” katanya.  

Ireland

  Perdana Menteri, Micheal Martin berkata, beliau amat menyesali tarif 20 peratus yang dikenakan ke atas eksport dari EU.  

“Kerajaan Ireland kini akan berbincang dengan rakan-rakan dalam EU mengenai langkah seterusnya, tetapi menegaskan bahawa sebarang tindakan haruslah seimbang, bertujuan untuk mempertahankan kepentingan perniagaan, pekerja dan rakyat kami,” tegasnya.  

Thailand

  Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra berkata, kerajaan mempunyai ‘pelan kukuh’ untuk menangani levi 36 peratus dan berharap untuk berunding bagi mendapatkan pengurangan, sambil menegaskan bahawa kerajaan akan mengambil langkah bagi mengurangkan impaknya.  

Vietnam

Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh meminta penubuhan serta-merta pasukan tindak balas pantas selepas negara itu dikenakan tarif besar sebanyak 46 peratus, lapor portal berita rasmi kerajaan.

Sebagai salah satu rakan perdagangan yang paling teruk terjejas, Vietnam turut menghantar Timbalan Perdana Menteri, Ho Duc Phoc untuk lawatan kerja ke AS.

Vietnam mengurangkan duti import awal minggu ini ke atas beberapa jenis barangan termasuk kereta, gas cecair dan beberapa produk pertanian yang kelihatan seperti langkah pencegahan untuk mengurangkan kesan tarif besar Trump.

Denmark

  Menteri Luar Denmark, Lars Lokke Rasmussen berkata, langkah baharu ini mengancam kemakmuran global.  

“Perdagangan global telah membawa kita ke tahap yang lebih baik dalam satu generasi, dunia menjadi lebih makmur, kemiskinan tegar berkurangan, kematian kanak-kanak menurun dan kita semua hidup lebih lama.  

“Amat menyedihkan melihat semua itu terancam akibat perang perdagangan yang tidak diingini oleh Eropah,” katanya. 

Colombia

  Presiden Colombia, Gustavo Petro berkata, Trump telah melakukan kesilapan besar dengan mengenakan tarif secara besar-besaran.  

“Kerajaan AS kini percaya bahawa dengan menaikkan tarif ke atas importnya secara menyeluruh, ia boleh meningkatkan pengeluaran, kekayaan dan pekerjaan domestik. Tetapi pada pendapat saya, ini mungkin satu kesilapan besar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×