WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan pengecualian terhadap telefon pintar dan komputer daripada tarif balas terhadap China hanyalah bersifat sementara.
Malah, beliau turut berikrar untuk menjalankan siasatan perdagangan berkaitan keselamatan negara terhadap sektor semikonduktor.
Penganalisis menyatakan langkah itu sebenarnya menyasarkan China memandangkan negara itu merupakan antara sektor semikonduktor terbesar dunia.
“Peranti elektronik tersebut hanya dipindahkan ke ‘kategori’ tarif yang berbeza.
“Kami sedang meneliti semikonduktor dan keseluruhan rantaian bekalan elektronik dalam siasatan tarif keselamatan negara yang akan datang,” kata Trump menerusi hantaran dalam media sosial.
Rumah Putih mengumumkan pengecualian daripada tarif balas yang tinggi pada Jumaat lepas.
Kelmarin, Setiausaha Perdagangan Trump, Howard Lutnick berkata, produk teknologi kritikal dari China – termasuk semikonduktor – akan dikenakan tarif baharu secara berasingan dalam tempoh dua bulan akan datang.
Pengecualian yang diumumkan pada Jumaat itu dilihat sebagai satu kelegaan besar bagi syarikat teknologi seperti Apple dan Dell Technologies yang bergantung kepada import dari China.
Namun, tindakan berubah-ubah Trump mengenai dasar tarif minggu lalu mencetuskan perubahan paling teruk di Wall Street sejak pandemik Covid-19 pada 2020.
Penanda aras indeks Standard & Poor’s 500 kini susut lebih daripada 10 peratus sejak Trump memulakan penggalnya pada 20 Januari lalu.
Lutnick berkata, Trump akan melaksanakan ‘jenis tarif tumpuan khas’ pada telefon pintar, komputer dan produk elektronik lain dalam tempoh sebulan atau dua, seiring tarif sektor yang menyasarkan semikonduktor serta farmaseutikal.
Menurutnya, tarif baharu itu tidak termasuk dalam kategori tarif balas Trump, di mana kadar cukai ke atas import dari China meningkat 125 peratus minggu lalu.
TARIF SEMIKONDUKTOR MINGGU DEPAN
Kadar tarif terhadap import semikonduktor akan diumumkan dalam tempoh seminggu, kata Trump.
Namun, beliau turut mengesahkan terdapat kelonggaran terhadap beberapa syarikat dalam sektor tersebut.
Antara alasan utamanya melakukan langkah tersebut adalah untuk memastikan penghasilan produk semikonduktor dihasilkan di AS.
“Tarif akan dilaksanakan dalam masa terdekat, sama seperti apa yang kita lakukan (kepada produk) keluli, kereta dan aluminium.
“Kami akan lakukan perkara sama dengan semikonduktor, cip,” katanya.
BERUBAH SETIAP HARI
Pengasas dan pakar strategi pasaran utama untuk Northman Trader, Sven Henrich, mengkritik sekeras-kerasnya cara isu tarif dikendalikan.
“Saya mencadangkan pentadbiran menentukan siapa yang mengawal mesej itu, kerana ia berubah setiap hari.
“Perniagaan di AS tidak dapat merancang atau melabur dengan ketidaktentuan yang berterusan ini,” katanya dalam hantaran di platform X.
Senator Demokrat, Elizabeth Warren, turut mengkritik semakan terbaharu terhadap rancangan tarif Trump, yang menurut ahli ekonomi berpotensi menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan mendorong inflasi.
“Tiada dasar tarif – yang ada hanya huru-hara dan rasuah,” kata Warren dalam rancangan This Week di ABC, sebelum hantaran terbaharu Trump di media sosial, kelmarin.
Dalam notis kepada syarikat penghantaran lewat Jumaat lalu, agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan AS menerbitkan senarai kod tarif yang dikecualikan daripada cukai import.
Senarai itu merangkumi 20 kategori produk, termasuk komputer, komputer riba, pemacu cakera, peranti semikonduktor, cip memori dan paparan panel rata.
Jutawan dan pengasas dana lindung nilai terbesar di dunia, Ray Dalio, turut bimbang AS menghampiri kemelesetan – atau situasi yang lebih buruk – akibat dasar tarif tersebut.
“Kita kini berada di titik membuat keputusan dan sangat hampir dengan kemelesetan. Saya bimbang sesuatu lebih buruk daripada kemelesetan jika isu ini tidak ditangani dengan baik,” katanya dalam rancangan Face the Nation di NBC.– AGENSI










