KAHERAH: Kumpulan pejuang Hamas menyambut baik langkah Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menarik balik cadangannya untuk memindahkan rakyat Palestin dari Gaza.
Susulan itu, jurucakap Hamas, Hazem Qassem turut menggesa Trump supaya tidak lagi berpihak kepada visi ‘sayap kanan Zionis yang melampau’.
“Jika kenyataan Presiden Trump mewakili penarikan balik daripada sebarang idea untuk memindahkan penduduk Gaza, maka ia dialu-alukan.
“Kami (Hamas) menyeru agar pendirian ini diperkuat dengan mewajibkan penduduk Israel melaksanakan semua syarat perjanjian gencatan senjata,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.
Kenyataan pegawai Hamas itu dikeluarkan selepas Trump mendakwa ‘tiada sesiapa yang mengusir rakyat Palestin dari Gaza’, sebagai respons kepada soalan semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Ireland, Micheal Martin di Rumah Putih, pada Rabu.
Kenyataan tersebut bercanggah dengan rancangan beliau sebelum ini yang mencadangkan AS mengambil alih Gaza, mengusir penduduk Palestin dan mengubahnya menjadi sebuah ‘Riviera Asia Barat’.
RUNDINGAN HAMAS-AS
Pada 9 Mac, penasihat politik kepada pemimpin Hamas, Taher Al-Nono mengesahkan terdapat perbincangan langsung dan belum pernah berlaku dengan Washington di Doha minggu lalu.
Perbincangan itu memfokuskan kepada pembebasan dua warganegara Amerika-Israel yang ditahan oleh kumpulan pejuang di Gaza.
Beliau berkata, pertemuan antara pemimpin Hamas dan perunding tebusan AS, Adam Boehler, turut membincangkan langkah pelaksanaan perjanjian berperingkat yang bertujuan menamatkan perang Israel di Gaza.
Perbincangan antara Boehler dan Hamas didakwa melanggar dasar Washington sejak beberapa dekad, yang menolak rundingan dengan kumpulan dilabel organisasi pengganas oleh AS.
8 Mac lepas, Israel dan Hamas memberi isyarat sedang bersiap sedia untuk fasa seterusnya rundingan gencatan senjata, ketika pengantara meneruskan usaha untuk melanjut tempoh selama 42 hari bermula Januari lalu.
Delegasi Hamas bertemu dengan pengantara Mesir dalam dua hari lalu dan menegaskan kesediaan mereka untuk berunding fasa seterusnya gencatan senjata.
Israel pula menghantar perunding ke Doha pada 10 Mac untuk rundingan sama.
PEMBINAAN SEMULA GAZA
Sementara itu, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan membincangkan rancangan pembinaan semula Gaza dengan rakan sejawatannya dari Arab dan utusan khas AS ke Asia Barat, Steve Witkoff, di Doha, kelmarin.
Mesyuarat tersebut dihadiri oleh Menteri Luar Qatar, Mohammed bin Abdulrahma Al-Thani serta rakan sejawatnya dari Jordan, Ayman Safadi dan Mesir, Badr Abdelatty.
Turut hadir Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar Emiriah Arab Bersatu (UAE), Khalifa Shaheen Al-Marar dan Setiausaha Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Hussein Al-Sheikh.
Kementerian Luar Qatar memaklumkan, menteri luar Arab membincangkan rancangan pembinaan semula Gaza, yang diluluskan semasa Sidang Kemuncak Liga Arab di Kaherah, pada 4 Mac lepas.
Mereka juga bersetuju dengan utusan AS untuk meneruskan rundingan dan penyelarasan mengenai rancangan itu sebagai asas bagi usaha pembinaan semula.
Sebahagian besar kawasan di Gaza musnah selepas lebih 15 bulan pengeboman dan operasi ketenteraan Israel di wilayah itu, sehingga mengorbankan hampir 50,000 rakyat Palestin.
Sebelum ini, Mesir, Jordan dan negara-negara Teluk Arab bimbang rancangan kontroversi Trump terhadap Gaza boleh mengancam kestabilan seluruh rantau tersebut.
Berikutan itu, negara Liga Arab mengadakan sidang kemuncak tergempar pada Mac dan menyokong rancangan pembinaan semula Gaza tanpa memindahkan penduduknya.










