AS bimbang harga kereta melonjak

Tangguh tarif: AS bimbang harga kereta melonjak

PRESIDEN AS bimbang sekiranya tarif yang dikenakan terhadap Mexico dan Kanada menjejaskan industri automatif di negara itu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengambil langkah sementara untuk melindungi industri automotif negara ini dengan memberikan pengecualian tarif selama sebulan kepada kenderaan dari Mexico dan Kanada.

Selepas berbincang dengan syarikat pengeluar kenderaan AS iaitu Ford, General Motors dan Stellantis, Trump bersetuju memberi kelonggaran bagi memastikan tiga pengeluar automotif utama di negara ini tidak mengalami kerugian.

Keputusan tersebut merupakan kelonggaran besar walaupun bersifat sementara, terhadap satu aspek utama dalam rancangan ekonomi pentadbirannya.

PINDAH OPERASI PENGELUARAN

Pengarah Komunikasi Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata, pengecualian itu hanya bersifat sementara dan Trump menggesa syarikat yang terlibat dalam Perjanjian AS-Mexico-Kanada (USMCA) untuk memulakan pelaburan serta memindahkan operasi pengeluaran ke AS.

“Beliau memberitahu mereka supaya mula bertindak, melabur, berpindah dan mengalihkan pengeluaran ke AS, di mana mereka tidak perlu membayar tarif. Itulah matlamat utama,” katanya.

Gesaan Trump merupakan senario yang mustahil berlaku dalam masa terdekat kerana ia memerlukan pengambilan pekerja secara besar-besaran, pelaburan tinggi dan perancangan strategik yang teliti.

Setakat ini, semua tarif lain sebanyak 25 peratus terhadap Mexico dan Kanada masih berkuat kuasa.

Namun, Leavitt berkata, Trump terbuka untuk mempertimbangkan pengecualian tarif lain, menyebabkan pasaran saham melonjak pada Rabu.

Sebagai tindak balas, Ford berkata, pihaknya akan terus berunding dengan pentadbiran AS mengenai cabaran yang dihadapi industri.

“Kami menghargai usaha Presiden Trump dalam menyokong industri kami dan memberikan pengecualian kepada syarikat automotif yang mematuhi USMCA.

“Kami akan terus mengadakan dialog dan terbuka dengan pentadbiran untuk membantu mencapai masa depan cerah dalam industri automotif serta sektor pembuatan AS,” kata Ford dalam kenyataan kepada CNN.

KANADA TIDAK GEMBIRA

Bagaimanapun, pengecualian tarif automotif selama sebulan tidak menggembirakan Kanada, meskipun data Jabatan Perdagangan AS menunjukkan kenderaan merupakan eskport kedua terbesar negara itu ke AS.

Perdana Menteri Ontario, Doug Ford menegaskan, beliau dan rakan sejawatannya dari Kanada, Justin Trudeau tidak mahu menerima sebarang tarif ke atas barangan negara mereka.

“Kami bersepakat, sifar tarif dan kami tidak akan berganjak,” katanya dalam satu taklimat, kelmarin.

Keputusan Trump untuk memberikan lanjutan itu dibuat menjelang pengumuman rancangannya mengenai tarif timbal balik di seluruh dunia pada 2 April depan.

Tidak seperti tarif ke atas barangan Mexico dan Kanada, Trump tidak akan mempertimbangkan sebarang pengecualian terhadap tarif timbal balik yang bakal diumumkan, kata Leavitt.

Tambahan pula, tarif baharu itu mungkin dikenakan di samping tarif 25 peratus yang masih berkuat kuasa ke atas barangan lain dari Kanada dan Mexico.

Pengeluar kereta AS berpendapat, tarif terhadap kenderaan dan alat ganti dari Kanada dan Mexico akan memberikan kesan buruk kepada industri automotif di rantau itu.

Ini kerana, walaupun kereta dipasang di kilang AS, hampir kesemuanya mengandungi komponen dari Mexico dan Kanada, yang boleh meningkatkan kos pengeluaran sebanyak beribu dolar.

Menurut data S&P Global Mobility, kilang automotif di Kanada menghasilkan 1.3 juta kenderaan tahun lalu, manakala kilang di Mexico mengeluarkan empat juta unit.

Sekitar 70 peratus kenderaan itu dijual di bilik pameran AS kepada pembeli Amerika, sementara kilang negara itu sendiri menghasilkan 10.2 juta kenderaan.

Tahun lalu, AS mengimport kenderaan penumpang bernilai AS$217 bilion (RM959 bilion), menurut data Jabatan Perdagangan.

Lebih satu perlima daripada jumlah itu datang dari Mexico, yang merupakan pembekal utama kenderaan di AS, diikuti Jepun, Korea Selatan, Kanada dan Jerman. – CNN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN