Miliki ketenteraan terkuat, Beijing terus gerunkan Washington

Miliki ketenteraan terkuat, Beijing terus gerunkan Washington

ANGGOTA Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) berkawal di luar Great Hall of The People di Beijing. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: China kekal menjadi ancaman ketenteraan dan siber terbesar kepada Amerika Syarikat (AS), malah keupayaan Beijing untuk menawan Taiwan dikhuatiri semakin kukuh.

Berdasarkan laporan agensi perisikan AS, China mempunyai keupayaan untuk menyerang AS dengan pelbagai aset ketenteraan konvensional, menjejaskan infrastruktur negara ini melalui serangan siber dan mengancam aset Washington di angkasa lepas.

Laporan Penilaian Ancaman Tahunan itu menyebut Beijing ketika ini berusaha keras untuk menggantikan AS sebagai kuasa kecerdasan buatan (AI) terbesar menjelang 2030.

Laporan itu turut mendedahkan, Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China berkemungkinan besar merancang menggunakan AI untuk mencipta berita palsu, meniru mana-mana individu, sekali gus membolehkan serangan siber dilancarkan.

“Tentera China mempunyai keupayaan canggih, termasuk senjata hipersonik, pesawat yang sukar dikesan radar, kapal selam canggih, aset angkasa lepas dan peperangan siber yang lebih kuat, selain kapasiti senjata nuklear yang besar,” kata Pengarah Perisikan Kebangsaan AS, Tulsi Gabbard.

Beliau turut menyifatkan Beijing sebagai ‘pesaing strategik paling berkebolehan’ Washington.

China mempunyai pelbagai aspek, strategi peringkat kebangsaan yang ireka untuk menggantikan AS sebagai kuasa AI paling berpengaruh di dunia menjelang 2030.

BENARKAH CHINA ‘TERLALU KUAT’?

Laporan setebal 33 muka surat itu juga menyatakan Beijing sudah bersedia untuk meningkatkan paksaan ketenteraan dan ekonomi terhadap Taiwan.

“PLA mungkin sudah mencapai kemajuan yang stabil tetapi tidak sekata, terutamanya mengenai bagaimana China boleh merampas Taiwan dan menguruskan campur tangan AS,” menurut laporan berkenaan.

Kementerian Luar China turut menasihatkan AS supaya tidak menggunakan pandangannya semata-mata untuk menggambarkan China, selain tidak menjadikan pemikiran Perang Dingin yang lapuk untuk mengukur tahap hubungan Beijing dan Washington ketika ini.

Kementerian itu juga mendesak Washington supaya menghentikan sokongan terhadap aktiviti pemisah kemerdekaan Taiwan.

Selain itu, satu lagi matlamat jangka panjang China adalah untuk meluaskan akses kepada sumber semula jadi Greenland dan menggunakannya sebagai ‘tapak strategik utama’ di Artik.

Namun, di sebalik kekuatan dan kecanggihan yang dimiliki China, negara itu tetap mempunyai kelemahannya.

Antaranya ialah, Beijing juga tidak terlepas dengan kegiatan rasuah, ketidakseimbangan demografi dan halangan fiskal serta ekonomi yang boleh menjejaskan legitimasi Parti Komunis yang memerintah negara itu.

Pertumbuhan ekonomi China mungkin akan terus perlahan kerana keyakinan pengguna dan pelabur yang rendah, selain Beijing juga sudah bersedia untuk ‘bertempur’ dengan AS dalam sektor ekonomi.

PENDATANG LEMAHKAN AS?

Menurut laporan itu, isu kemasukan pendatang di negara ini menjadi antara faktor menyebabkan infrastruktur AS semakin lemah, selain membuka ruang kepada ‘mana-mana suspek atau organisasi pengganas’ untuk bertapak di seluruh negara ini.

Agensi perisikan di negara ini menyatakan Iran komited untuk mewujudkan ‘rangkaian tumpang’ di dalam AS dan mempunyai rancangan untuk menyasarkan bekas dan pegawai semasa AS.

Katanya, situasi itu menjadikan AS terus rapuh dan boleh diserang mana-mana negara, terutamanya China jika pertahanan dan perubahan infrastruktur negara ini tidak dilakukan secara menyeluruh. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×