RIYADH: Bekas Ketua Perisikan dan Duta Arab Saudi ke Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), Putera Turki al-Faisal menegaskan Israel perlu menyumbang kepada pembinaan semula infrastruktur di Semenanjung Gaza.
Katanya, tindakan itu wajar memandangkan sudah ‘terlalu banyak kali’ Israel memusnahkan Gaza dengan alas an mahu memerang pergerakan Hamas.
Menerusi program Frankly Speaking, Putera Turki mengemukakan hujahnya mengapa Israel harus bertanggungjawab dari segi kewangan untuk semua kerosakan yang dilakukannya di Gaza dan Tebing Barat.
Beliau berkata, tanggungjawab memulihkan semula Palestin bukan terletak pada negara-negara Teluk.
“Saya sudah menyatakan perkara ini sejak sekian lama, harus ada satu dana global untuk pembinaan semula, bukan sahaja di Gaza tetapi juga di Tebing Barat dan Israel harus dipaksa menyumbang kepada dana itu.
“Kita tidak boleh menerima keadaan di mana setiap kali kita membina semula Gaza atau Tebing Barat, Israel datang dan merobohkan apa yang sudah dibina semula. Itu tidak boleh diterima,” katanya.
Putera Turki menegaskan, satu-satunya cara untuk memastikan usaha pembinaan semula tidak berulang kali terbantut akibat serangan Israel ialah dengan mewujudkan gencatan senjata kekal.
“Itulah satu-satunya cara untuk memastikan apa sahaja yang dibina semula dapat bertahan dan menjadi sebahagian daripada negara Palestin yang berdaya maju, merdeka, dan dapat mentadbir sendiri dengan hak penuh untuk rakyatnya,” ujarnya.










