Trump gesa Zelenskyy dan Putin bertemu

Trump gesa Zelenskyy dan Putin bertemu

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggesa rakan sejawatnya, Vladimir Putin dan Volodymyr Zelenskyy untuk mengadakan pertemuan bagi menamatkan perang antara Moscow dan Kyiv.

Kenyataan Trump menandakan peralihan nada berikutan beliau sebelum ini lantang mengkritik Presiden Ukraine itu sebagai seorang diktator.

Ia berlaku selepas Zelenskyy mengadu bahawa negaranya yang diserang Russia sejak 2022 tidak dijemput dalam rundingan antara pegawai AS dan Russia.

“Presiden Putin dan Presiden Zelensky perlu bertemu. Anda tahu kenapa? Kita mahu menghentikan pembunuhan berjuta-juta orang,” katanya.

Trump turut menambah bahawa Kyiv dijangka menandatangani perjanjian untuk memberi Washington akses keutamaan kepada sumber mineral Ukraine dalam tempoh terdekat.

“Mereka sangat berani, dalam pelbagai cara yang boleh anda bayangkan. Tetapi kita sedang membelanjakan kekayaan kita untuk sebuah negara yang sangat jauh,” katanya.

Trump mahu Ukraine memberikan syarikat AS akses kepada sumber semula jadi negara itu sebagai pampasan atas bantuan bernilai puluhan bilion dolar yang disalurkan oleh pendahulunya, Joe Biden.

Ukraine bagaimanapun mahukan jaminan keselamatan dari AS sebelum menyerahkan hak berharga tersebut.

Zelenskyy yang sebelum ini menolak perjanjian itu berkata, beliau berharap mendapat keputusan yang adil.

Perjanjian sumber mineral itu menjadi titik pertikaian utama dalam hubungan yang semakin tegang antara Washington dan Kyiv.

Trump menggambarkan Ukraine berada dalam kedudukan yang lemah ketika rundingan, sekali gus membimbangkan sekutunya yang percaya beliau akan memberi konsesi kepada Putin.

“Saya sudah mengadakan perbincangan yang sangat baik dengan Putin dan tidak begitu baik dengan Ukraine. Mereka tidak mempunyai sebarang kelebihan,” katanya.

Presiden AS itu turut memberitahu bahawa Putin, pemimpin Russia yang sering dikaguminya, tidak menghadapi sebarang tekanan untuk mencapai perjanjian.

Sementara itu, Trump turut menuduh Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer tidak berbuat apa-apa untuk menamatkan perang.

Kedua-dua pemimpin itu dijadualkan ke Rumah Putih minggu depan bagi perbincangan penting berkenaan isu tersebut.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN