WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mula mengubah pendekatan lebih berlembut dalam rancangannya untuk mengawal Gaza dan memindahkan lebih dua juta penduduk wilayah itu ke negara-negara berdekatan.
Trump dilaporkan berkata, bahawa beliau hanya mencadangkan idea tersebut.
Trump mencetuskan kejutan awal bulan ini apabila membentangkan rancangan yang menyatakan Washington akan mengambil alih wilayah Gaza.
Beliau juga mahu membangunkan wilayah itu semula, sambil mendesak Mesir dan Jordan untuk menerima pelarian Palestin.
Namun, dalam satu wawancara pada Jumaat, Presiden Republikan itu mengakui bahawa pemimpin Jordan dan Mesir menolak rancangan tersebut, dengan menyifatkan pemindahan rakyat Palestin secara paksa sebagai tidak adil.
“Saya agak terkejut mereka mengatakan begitu, tetapi mereka melakukannya.
“Caranya adalah dengan rancangan saya. Saya rasa itu rancangan yang benar-benar berkesan, tetapi saya tidak memaksa.
“Saya hanya akan duduk dan mencadangkannya,” kata Trump kepada Fox News Radio menerusi rancangan The Brian Kilmeade Show, sambil menambah bahawa AS memberi bantuan berbilion dolar setahun kepada negara-negara tersebut.
Komen Trump itu dibuat sejurus selepas mesyuarat pemimpin Arab di Riyadh untuk merangka cadangan bagi pembinaan semula Gaza selepas perang bagi menentang rancangan Presiden AS tersebut. -AFP










