AS kenakan kembali sekatan terhadap Iran

AS kenakan kembali sekatan terhadap Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) telah mengenakan sekatan pertama terhadap Iran sejak Donald Trump kembali ke Rumah Putih, sekali gus menghidupkan semula kempen tekanan maksimum terhadap Teheran.

Jabatan Perbendaharaan AS dalam kenyataan kelmarin memaklumkan, sekatan tersebut menyasarkan rangkaian minyak Iran, termasuk beberapa syarikat, kapal dan individu yang mempunyai kaitan dengan entiti yang sebelum ini sudah disenarai hitam oleh Washington.

Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent berkata, sekatan itu bertujuan mengekang Iran daripada terus menggunakan hasil minyak bagi membiayai program nuklear, pembangunan peluru berpandu balistik serta pesawat tanpa pemandu, selain menyokong kumpulan proksi pengganas di rantau tersebut.

“Amerika Syarikat komited untuk mengekang sebarang usaha Iran mendapatkan dana bagi aktiviti-aktiviti jahat ini,” katanya.

Iran sebelum ini berulang kali menolak sekatan ke atas sektor minyaknya dan menyifatkan usaha merampas eksport minyak negara itu sebagai satu bentuk lanun moden.

Sekatan terbaharu itu melibatkan entiti dan individu di beberapa negara, termasuk China, India dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Tindakan dibuat dua hari selepas Trump menandatangani perintah eksekutif bagi menghidupkan semula kempen tekanannya terhadap Iran, yang mula dilaksanakan semasa penggal pertama beliau selepas menarik diri daripada perjanjian antarabangsa dengan Tehran pada 2018.

Perjanjian tersebut, dikenali sebagai Joint Comprehensive Plan of Action (JCPOA) yang dimeterai pada 2015, menetapkan Iran perlu mengurangkan program nuklearnya sebagai pertukaran kepada penghapusan sekatan ekonomi antarabangsa.

Pemimpin-pemimpin Iran menafikan mereka berhasrat membangunkan senjata nuklear, namun Tehran terus meningkatkan pengayaan uranium, iaitu bahan utama dalam pembuatan bom sejak beberapa tahun lalu sebagai tindak balas terhadap sekatan AS.

Israel, sekutu utama AS di Timur Tengah, dipercayai memiliki senjata nuklear tanpa diisytiharkan secara rasmi. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×