1,600 kakitangan USAID diberhentikan

1,600 kakitangan USAID diberhentikan

ORANG ramai membantah rancangan Donald Trump dan Elon Musk untuk menutup USAID di luar Capitol AS.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Ribuan kakitangan Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID) diberhentikan atau diberikan cuti bermula kelmarin, sebagai sebahagian usaha pentadbiran Presiden Donald Trump mengurangkan perbelanjaan kerajaan Amerika Syarikat (AS).

Menurut notis di laman web USAID, kira-kira 1,600 pekerja yang berpangkalan di AS akan diberhentikan dalam usaha pengurangan tenaga kerja.

Semua kakitangan lain yang diambil bekerja secara langsung oleh USAID akan diletakkan dalam cuti pentadbiran di pelbagai peringkat di seluruh dunia, kecuali mereka yang bertanggungjawab terhadap fungsi kritikal misi, kepemimpinan teras atau program khas yang ditetapkan.

Langkah itu merupakan antara usaha Trump untuk membubarkan USAID, yang mempunyai lebih 10,000 pekerja dan mengendalikan pelbagai program kemanusiaan serta pembangunan di seluruh dunia.

Awal bulan ini, agensi itu mengumumkan semua kakitangan akan diletak dalam cuti pentadbiran, arahan yang berdepan cabaran undang-undang.

Jumaat lalu, hakim persekutuan menarik balik perintah yang sebelum ini menggantung pelaksanaan rancangan pentadbiran Trump untuk menyerang USAID.

Dalam kenyataan kelmarin, agensi itu berkata, kakitangan yang masih dijangka bekerja akan dimaklumkan oleh pengurusan sebelum pukul 5 petang (waktu tempatan) pada hari sama.

USAID berkata, pihaknya akan menanggung kos perjalanan pulang bagi kakitangan yang berpangkalan di luar negara.

“Dalam minggu akan datang, kami akan memberikan butiran mengenai cara mendapatkan kembali barangan peribadi dari bekas ruang kerja USAID dan memulangkan peranti yang dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya.

Sebelum ini, Trump dan sekutunya, termasuk jutawan terkenal, Elon Musk mendakwa USAID dipenuhi dengan penipuan, namun mereka tidak memberikan bukti untuk menyokong tuduhan tersebut.

Bajet melebihi AS$40 bilion (RM176 bilion) diperuntukkan oleh Kongres, dengan programnya merangkumi pelbagai aspek, daripada tadbir urus hingga bantuan makanan yang menyelamatkan nyawa.

Agensi yang beroperasi selama beberapa dekad itu sering menghadapi kritikan dalam sektor bantuan, terutama mengenai kos pentadbiran serta pertikaian mengenai pencapaian matlamat beberapa program.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×