Tentera Israel ketatkan peraturan media, bimbang risiko pendakwaan jenayah perang

Tentera Israel ketatkan peraturan media, bimbang risiko pendakwaan jenayah perang

TENTERA Israel memandu melepasi bangunan yang musnah di Rafah di Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Israel meletakkan sekatan baharu ke atas liputan media terhadap tentera yang sedang menjalankan tugas tempur.

Sekatan itu dibuat ekoran kebimbangan yang semakin meningkat mengenai risiko tindakan undang-undang terhadap pasukan simpanan yang melancong ke luar negara atas dakwaan terlibat dalam jenayah perang di Gaza.

Tindakan itu dibuat selepas seorang anggota simpanan Israel yang bercuti di Brazil meninggalkan negara itu secara mengejut. 

Ia susulan, seorang hakim Brazil mengarahkan Polis Persekutuan membuka siasatan berhubung dakwaan kumpulan pro-Palestin, dia melakukan jenayah perang semasa berkhidmat di Gaza.

Jurucakap Tentera, Leftenan Kolonel Nadav Shoshani berkata, berdasarkan peraturan baharu itu, media yang menemu bual tentera berpangkat kolonel atau lebih rendah tidak boleh memaparkan nama penuh mahu pun wajah mereka.

Ia sama seperti peraturan sedia ada untuk juruterbang dan anggota unit pasukan khas.

“Anggota yang ditemuduga tidak boleh dikaitkan dengan acara pertempuran tertentu yang mereka sertai.

“Ini adalah garis panduan baharu untuk melindungi askar kami dan memastikan mereka selamat daripada protes yang dianjurkan oleh aktivis anti-Israel di seluruh dunia,” kata Shoshani.

Katanya, menerusi peraturan tentera sedia ada, anggota tentera sudah tidak sepatutnya menyiarkan video dan imej lain dari zon perang di media sosial walaupun ia masih berlaku kerana rejim itu mempunyai tentera yang besar.

Malah jelasnya, terdapat juga peraturan dan garis panduan yang sudah lama wujud untuk askar yang melancong ke luar negara.

Shoshani berkata, kumpulan aktivis, seperti Yayasan Hind Rajab berpangkalan di Belgium yang mendesak tindakan itu di Brazil, mengaitkan antara tentera yang menyiarkan bahan dari Gaza dan kemudian menyiarkan gambar dan video lain mereka semasa bercuti di luar negara.

Tahun lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant serta seorang pemimpin Hamas, Ibrahim Al-Masri atas dakwaan jenayah perang di Gaza, sekali gus menimbulkan kemarahan di Israel.

Shoshani berkata, terdapat segelintir kes apabila anggota simpanan yang melakukan perjalanan ke luar negara menjadi sasaran.

Ia dimulakan oleh kumpulan aktivis yang mendesak pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN