DAMSYIK: Pemerintah baharu Syria melantik beberapa pejuang asing, termasuk dari Uyghur, Jordan dan Turkiye ke dalam pasukan tentera negara ketika Damsyik berusaha menyusun semula pasukan pertahanan yang lebih profesional.
Beberapa sumber mendakwa, hampir 50 peranan tentera yang diumumkan Kementerian Pertahanan pada Ahad, kira-kira enam daripadanya diberikan kepada pejuang asing.
Kementerian itu mengumumkan 49 pelantikan dalam tentera yang turut melibatkan pemimpin-pemimpin kumpulan bersenjata utama Syria.
Antara mereka terdapat beberapa pejuang asing, tiga daripadanya diberi pangkat briged jeneral dan sekurang-kurangnya tiga lagi dilantik sebagai kolonel, kata sumber tentera Syria.
Langkah memberikan jawatan rasmi kepada beberapa pejuang jihad, termasuk yang berpangkat tinggi, mungkin mencetuskan kebimbangan kepada kerajaan asing dan rakyat Syria, walaupun pentadbiran baharu berjanji untuk memerintah secara toleransi.
Bagaimanapun, seorang jurucakap kerajaan Syria tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas mengenai rasional di sebalik pelantikan tersebut.
Pemimpin Hayat Tahrir Al-Sham (HTS) yang kini memegang kuasa de facto Syria, Ahmed al-Sharaa menegaskan, pembersihan puluhan pejuang jihad asing adalah usaha untuk menyesuaikan dan memodenkan kumpulannya.
Dalam kenyataan yang disiarkan pada Ahad, beliau berkata, Syria baharu tidak boleh dipimpin dengan mentaliti kumpulan dan militan.
Pemerintah baharu Syria, yang kebanyakannya berasal dari HTS, menyatakan pejuang asing dan keluarga mereka mungkin diberikan kewarganegaraan Syria dan dibenarkan tinggal di negara itu kerana sumbangan dalam perjuangan menentang Assad.– REUTERS










