Kemboja keluar amaran kesihatan wabak hMPV

Kemboja keluar amaran kesihatan wabak hMPV

PEGAWAI berpakaian pelindung diri (PPE) memeriksa seorang lelaki yang rebah dan meninggal dunia di jalan berhampiran hospital di Wuhan, China.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHNOM PENH: Jabatan Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) Kemboja memberi amaran tentang wabak metapneumovirus manusia (hMPV) di China yang menyebabkan simptom seperti selesema biasa dan Covid-19, dengan peningkatan jangkitan dalam kalangan kanak-kanak.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China (CDC China), gejalanya termasuk batuk, demam, hidung tersumbat dan sesak nafas. 

Kes-kes yang teruk boleh mengakibatkan bronkitis atau radang paru-paru, terutamanya dalam kalangan bayi, warga emas dan individu yang lemah imunisasi.

“Mereka yang mempunyai masalah paru-paru yang sedia ada, seperti asma, Penyakit Pulmonari Obstruktif Kronik (COPD) atau emfisema, mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat kesan lebih teruk.

“Virus ini merebak terutamanya melalui titisan, batuk, bersin serta hubungan rapat atau pendedahan kepada persekitaran yang tercemar. Tempoh inkubasi berkisar antara tiga hingga lima hari,” jelas CDC.

Pentadbiran Kawalan dan Pencegahan Penyakit Kebangsaan di China dilaporkan sudah menetapkan protokol untuk pelaporan makmal dan pengesahan kes.

“Data dari 16 hingga 22 Disember menunjukkan peningkatan jangkitan pernafasan akut, termasuk hMPV, khususnya di wilayah utara. Kes baru-baru ini kebanyakannya melibatkan individu di bawah umur 14 tahun,” lapor Reuters.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendesak China untuk berkongsi data mengenai asal-usul pandemik Covid-19, lima tahun selepas ia bermula di bandar Wuhan.

Pandemik Covid-19 yang melanda dunia pada 2020, meragut lebih tujuh juta nyawa, merencatkan perkembangan ekonomi dan melumpuhkan sistem kesihatan global.

“Kami terus mendesak China untuk berkongsi data dan akses agar kami dapat memahami asal-usul Covid-19. Ini adalah kewajiban moral dan saintifik.

“Tanpa ketelusan, perkongsian dan kerjasama antara negara, dunia tidak dapat mencegah dan bersiap sedia untuk wabak serta pandemik baharu akan datang,” kata WHO dalam satu kenyataan kelmarin.

WHO dalam kenyataannya mengimbas kembali perjalanan awal Covid-19, daripada isu tempatan yang kecil hingga menjadi masalah global, sehingga akhirnya menyebabkan sekatan pergerakan di seluruh dunia dan perlumbaan untuk membangunkan vaksin.

“Lima tahun lalu, pada 31 Disember 2019, Pejabat Negara WHO di China menerima kenyataan media daripada Suruhanjaya Kesihatan Bandar Wuhan melalui laman web mereka mengenai kes ‘pnemonia virus’ di Wuhan.

“Dalam minggu, bulan dan tahun yang berlalu selepas itu, Covid-19 mula membentuk kehidupan dan dunia kita,” kata WHO.

Ramai saintis berpendapat virus itu dipindahkan secara semula jadi daripada haiwan kepada manusia, tetapi beberapa keraguan masih timbul bahawa ia mungkin terlepas dari makmal di Wuhan.

Mereka membuat kesimpulan itu selepas menganalisis ratusan sampel yang dikumpul dari Wuhan pada Januari 2020.

Pada Mei 2023, WHO mengisytiharkan bahawa Covid-19 bukan lagi dikategorikan sebagai kecemasan kesihatan global.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN