Filipina lancar komik perangi kempen maklumat palsu di Laut China Selatan

Filipina lancar komik perangi kempen maklumat palsu di Laut China Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Kerajaan Filipina melancarkan sebuah buku komik bertajuk The Stories of Teacher Jun pada Jumaat sebagai usaha untuk menangkis kempen maklumat salah oleh China yang didakwa bertujuan mempertahankan tuntutan wilayahnya yang meluas di Laut China Selatan.

Buku komik setebal 40 muka surat itu, yang dilancarkan oleh pegawai Filipina, menggunakan watak seorang guru dan pelajar-pelajar muda dalam bentuk karikatur berwarna untuk menjelaskan isu pertikaian wilayah yang kompleks dengan cara mudah difahami, sambil menegaskan pendirian Filipina.

Dalam salah satu adegan fiksyen dalam buku itu, seorang pelajar menyifatkan China sebagai pembuli manakala pelajar lain menyatakan tindakan Beijing sebagai melampau.

“Pegawai China, bersama media yang disokong oleh negara, terus menyebarkan naratif yang diputar belit untuk mencemarkan usaha kami dan menghalalkan tuntutan unilateral mereka,” kata Penasihat Keselamatan Negara Filipina, Eduardo Ano, ketika berucap pada majlis pelancaran di Manila.

Filipina, katanya, akan melakukan segala yang mampu untuk melawan maklumat salah dan naratif palsu demi mendedahkan kebenaran.

Filipina telah lama berhadapan dengan cabaran besar menentang China, sebuah negara yang jauh lebih kuat dari segi ketenteraan, dalam perebutan wilayah di Laut China Selatan.

Masalah itu mendorong Filipina memperkukuhkan hubungan keselamatan dengan Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara sekutu lain sebagai langkah menghalang tindakan agresif Beijing.

Dua tahun lalu, Filipina mula menggunakan pendekatan ‘kempen malu’ dengan menyiarkan video dan gambar tindakan agresif China di kawasan pertikaian, termasuk penggunaan meriam air yang kuat dan gerakan kapal berbahaya, kepada rakyatnya dan masyarakat antarabangsa namun, insiden pertikaian, khususnya antara pengawal pantai terus berlanjutan.

Menurut Komander Pengawal Pantai Filipina, Jay Tarriela yang merupakan salah seorang penyokong projek buku itu, kira-kira 11,000 naskhah buku komik telah diedarkan secara percuma, dengan ribuan lagi akan dicetak bergantung kepada sumbangan kewangan yang diterima.

Buku ini disasarkan kepada pelajar muda dan penduduk luar bandar yang kurang akses kepada sumber berita, malah pembaca asing yang berminat juga boleh mendapatkan buku tersebut dalam bahasa masing-masing.

Laut China Selatan yang merupakan laluan perdagangan global utama dengan kawasan perikanan kaya serta simpanan gas bawah laut, turut menjadi tuntutan oleh negara-negara lain seperti Vietnam, Malaysia, Brunei dan Taiwan.

Setakat ini, belum ada komen rasmi daripada pihak China, namun mereka sebelum ini berulang kali mempertahankan tuntutan terhadap hampir keseluruhan perairan tersebut dan menuduh Filipina serta negara-negara lain sebagai penceroboh. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN