GAZA: Ketika dunia bergembira menyambut kedatangan tahun baharu, pasangan di Gaza meratapi kematian bayi mereka yang kaku dalam kesejukan.
Seorang bapa, Yahya Al-Batran terbangun pada awal pagi selepas dikejutkan suara isterinya, Noura yang cuba membangunkan bayi kembar mereka yang baru lahir.
BAYI BEKU SEPERTI AIS
Jumaa dan Ali yang dibaringkan bersama di dalam khemah sementara di tengah Semenanjung Gaza sudah tidak bersuara.
Musim sejuk dan hujan lebat di kawasan pesisir pantai pada hari-hari sebelumnya menjadikan kehidupan Yahya dan keluarganya sengsara tetapi apa yang baharu sahaja berlaku lebih menyakitkan.
“Noura cuba membangunkan Jumaa, tetapi dia sudah tidak bergerak dan saya bertanya tentang Ali tetapi dia juga tidak bangun.
“Saya memegang Jumaa, dia sudah pun pucat dan beku seperti salji, seperti ais,” kata Yahya kepada wartawan Reuters.
Jumaa yang baru berusia sebulan, meninggal dunia akibat hipotermia dan menjadi korban terbaharu daripada enam bayi Palestin yang maut akibat kesejukan sejak beberapa hari lalu di Gaza.
Ali berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi sejak semalam.
Situasi sama turut menimpa Sila yang baharu berusia tiga minggu apabila ibunya, Nariman al-Najmeh menyedari anak bongsunya itu sudah terbujur kaku.
“Saya bangun pada waktu pagi dan memberitahu suami saya Sila tidak bergerak. Dia mengangkatnya dan mendapati bayi kami biru, menggigit lidahnya dengan darah keluar dari mulutnya,” kata Nariman.
Di dalam khemah sempit dan sesak yang terletak di pantai di selatan Gaza, Nariman termangu sayu bersama suaminya, Mahmoud Fasih dan dua anak kecil mereka berusia empat tahun, dan dua setengah tahun.
Sepanjang perang di Gaza, cuaca sejuk menambah penderitaan kepada ratusan ribu penduduk yang berpindah ketika usaha gencatan senjata masih belum menampakkan hasil.
Kematian Jumaa dan Sila menunjukkan betapa teruknya keadaan yang dihadapi oleh keluarga mangsa perang di Gaza.
Pihak berkuasa Israel berkata, mereka telah membenarkan beribu-ribu trak bantuan yang membawa makanan, air, peralatan perubatan dan bekalan perlindungan masuk ke Gaza.
Namun agensi bantuan antarabangsa memaklumkan tentera Israel sering menghalang dan mengganggu penghantaran serta agihan bantuan kepada penduduk terjejas, menjadikan krisis kemanusiaan di wilayah itu semakin buruk menjelang tahun baharu.
Yahya yang tinggal di bandar utara Beit Lahiya berkata, dia dan keluarganya melarikan diri dari rumah mereka menuju al-Maghazi, kawasan bukit pasir dan semak belukar di tengah Gaza yang diisytiharkan oleh pihak berkuasa Israel sebagai zon kemanusiaan.
Kemudian, apabila al-Maghazi menjadi semakin tidak selamat, mereka berpindah ke perkhemahan lain di bandar Deir al-Balah yang berdekatan.
“Memandangkan saya sudah dewasa, saya mungkin boleh menerima keadaan ini dan menanggungnya, tetapi apa dosa bayi kami sehingga mereka terpaksa melalui semua ini? Bayi kami tidak dapat menahan kesejukan dan kelaparan ini,” kata Noura sambil memeluk selimut bayinya.
KHEMAH USANG BERLUMPUR
Di sekitar kawasan itu, berpuluh-puluh khemah, banyak yang sudah lusuh akibat digunakan selama berbulan-bulan mula diterbangkan angin atau dibanjiri air dan lumpur.
Ketika dunia ‘membuat sampah’ semasa menyertai sambutan mengira detik kedatangan 2025, keluarga di Gaza bertungkus-lumus membaiki kerosakan, menampal kepingan plastik yang koyak dan menimbun pasir untuk menahan air masuk ke dalam khemah usang mereka.
“Air meresap ke dalam membasahi tilam dan pakaian anak-anak saya. Saya menukar pakaian anak-anak pagi ini dan terpaksa membiarkan mereka hanya memakai seluar dalam.
“Mereka sedang tidur dan terjaga dalam keadaan basah kuyup dan menggigil kesejukan. Semuanya basah, selimut, bantal, tilam, semuanya,” kata ibu kepada tiga anak, Sabreen Abu Shanab selepas khemahnya dinaiki air.
Sabreen menghidap asma tetapi bekalan ubat yang ada tidak cukup untuk membantunya ditambah cuaca sejuk, kekurangan selimut serta pakaian tebal.
Lebih 2.3 juta penduduk Gaza terkepung oleh kempen Israel yang tidak henti-henti menentang saki-baki Hamas dan kini terpaksa pula bergantung harap kepada sistem bantuan tidak menentu dan semakin terdedah kepada rompakan.
Kempen Israel menentang Hamas di Gaza sudah membunuh lebih daripada 45,500 rakyat Palestin dan menjadikan kawasan itu lapangan runtuhan.
Agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Palestin, (UNRWA) berkata, bantuan tidak mencukupi dan gencatan senjata amat diperlukan untuk menyampaikannya ketika kebuluran semakin menghampiri banyak kawasan.
Awal bulan ini, pemimpin Israel dan Hamas menyatakan harapan bahawa rundingan yang diusahakan oleh Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) boleh membawa kepada perjanjian untuk menghentikan pertempuran dan mengembalikan tebusan Israel.
Tetapi perbincangan optimis mengenai perjanjian sebelum akhir tahun lalu pudar dan sehingga kini masih tidak jelas sejauh mana kedua-dua pihak mencapai persetujuan.
Walaupun mengetahui penderitaan penduduk di kawasan khemah perlindungan, tentera Israel tetap memerangi pejuang Hamas di kawasan sekitar bandar utara Beit Hanoun, Jabalia dan Beit Lahiya yang kini berada di luar jangkauan perkhidmatan kecemasan dan bantuan perubatan.










