STOCKHOLM: Seorang pelarian Iraq beragama Kristian yang sebelum ini mencetuskan kontroversi membakar al-Quran ditembak mati ketika sedang melakukan siaran langsung di media sosial, semalam.
Mangsa, Salwan Momika, 38, dilaporkan maut di sebuah premis di Sodertalje, dekat Stockholm, menurut laporan penyiar awam Sweden, SVT.
Lima individu telah ditahan berhubung insiden itu, namun belum dapat dipastikan sama ada suspek utama berada dalam kalangan mereka.
Media Sweden melaporkan, Momika sedang bersiaran langsung di aplikasi TikTok ketika dia ditembak dan rakaman video menunjukkan pihak polis mengambil telefon bimbitnya dan menamatkan siaran langsung tersebut.
Momika sebelum ini terkenal kerana melakukan beberapa siri demonstrasi membakar al-Quran di khalayak ramai sepanjang tahun 2023, mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
Dia sedang dibicarakan atas tuduhan menghasut kebencian terhadap kumpulan etnik atau nasional, dan dijadualkan menerima hukuman bersama seorang lagi individu.
Tahun lalu, kerajaan Sweden mengutuk tindakan membakar al-Quran, tetapi pada awalnya menganggapnya sebagai kebebasan bersuara yang dilindungi undang-undang.
Bagaimanapun, selepas beberapa siri insiden tersebut mencetuskan kemarahan dunia Islam dan ancaman daripada kumpulan jihad, pihak berkuasa Sweden menaikkan tahap amaran keganasan ke tahap kedua tertinggi serta memberi amaran mengenai ancaman terhadap rakyat negara itu.
Agensi Keselamatan Sweden memaklumkan polis sedang mengetuai siasatan berhubung pembunuhan tersebut, namun mereka turut memantau perkembangan bagi menilai kesannya terhadap keselamatan negara.
Sementara itu, pihak imigresen Sweden sebelum ini mahu menghantar pulang Momika ke Iraq selepas mendapati dia memberikan maklumat palsu dalam permohonannya untuk tinggal di negara itu.
Namun, tindakan itu tidak dapat dilaksanakan kerana dikhuatiri dia akan diseksa atau menerima layanan tidak berperikemanusiaan sekiranya kembali ke Iraq. -AGENSI










