DAMSYIK: Empat orang terbunuh manakala 16 lagi cedera dalam insiden rempuhan di Masjid Umayyad yang menjadi mercu tanda di Damsyik pada Jumaat, lapor Agensi Berita Rasmi Syria (SANA).
Lima kanak-kanak mengalami patah tulang, lebam teruk, dan pengsan, menurut kenyataan pihak pertahanan awam.
Pihak berkuasa sedang menyiasat punca kejadian tersebut dan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab.
“Kami sedang berusaha untuk mengambil langkah segera bagi memastikan insiden seperti ini tidak berulang di tempat awam pada masa akan datang,” kata Gabenor Damsyik, Maher Marwan.
Akhbar Al-Watan berkata, rempuhan itu berlaku semasa pengagihan makanan percuma oleh seorang personaliti media sosial.
YouTuber bernama Chef Abu Omar, yang mempunyai sebuah restoran di Istanbul sebelum itu menyiarkan video persiapan pengagihan makanan percuma di masjid tersebut.
Seorang jurugambar yang bekerjasama dengan AFP dan berada di lokasi rempuhan melihat orang ramai berkumpul berhampiran masjid kerana makanan percuma yang diedarkan.
Video yang diperoleh Associated Press turut menunjukkan orang ramai berebut mencapai bungkusan makanan yang diedarkan.










