Mahkamah kekalkan hukuman mati taikun hartanah Vietnam

Mahkamah kekalkan hukuman mati taikun hartanah Vietnam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HO CHI MINH CITY: Mahkamah Vietnam mengekalkan hukuman mati seorang hartawan yang terlibat dalam kes penipuan berbilion dolar tetapi berkata nyawanya masih boleh diselamatkan jika beliau membayar balik tiga perempat daripada aset yang digelapkannya.

Pemaju hartanah, Truong My Lan, 68, disabitkan kesalahan awal tahun ini kerana menyalahgunakan wang dari Saigon Commercial Bank (SCB) yang menurut pendakwa raya, beliau mengawalnya.

My Lan dijatuhi hukuman mati kerana penipuan berjumlah AS$27 bilion (RM120 bilion), salah satu kes rasuah terbesar dalam sejarah negara itu.

Beliau merayu keputusan itu dalam perbicaraan selama sebulan, tetapi mahkamah di Ho Chi Minh City memutuskan bahawa tiada asas untuk mengurangkan hukumannya.

Bagaimanapun, masih ada peluang untuk My Lan terlepas daripada hukuman mati.

Mahkamah berkata, jika beliau memulangkan tiga perempat daripada aset yang dicuri, hukumannya boleh dikurangkan kepada penjara seumur hidup.

Suaminya, Eric Chu Nap Kee, seorang jutawan Hong Kong, menerima pengurangan hukuman daripada sembilan tahun penjara kepada hanya tujuh tahun.

Berpuluh-puluh ribu orang yang melaburkan simpanan mereka dalam SCB kehilangan wang, mengejutkan negara komunis itu dan mencetuskan protes yang jarang berlaku daripada mangsa.

My Lan, yang mengasaskan kumpulan pembangunan hartanah Van Thinh Phat, sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa cara terpantas untuk membayar balik dana yang dicuri adalah melakukan proses likuidasi SCB dan menjual semua asetnya untuk membayar balik SBV Bank Negara Vietnam (SBV) dan rakyat.

Pasukan pembelaan berhujah bahawa beliau telah membayar balik wang yang diperlukan untuk layak menerima pengurangan hukuman.

My Lan telah menyerahkan lebih 600 harta milik keluarganya kepada mahkamah tetapi tidak jelas nilai sebenarnya.

Peguam memberitahu AFP bahawa dalam apa jua keadaan, ia mungkin akan mengambil masa bertahun-tahun sebelum My Lan menghadapi hukuman mati yang dilakukan melalui suntikan maut di Vietnam.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×