TOKYO: Ahli Parlimen Jepun mengundi untuk mengekalkan Shigeru Ishiba sebagai perdana menteri walaupun gabungan parti pemerintah kehilangan majoriti dalam pilihan raya bulan lalu.
Ishiba memenangi 221 undi dalam perlawanan menentang ketua pembangkang Parti Demokratik Perlembagaan Jepun (CDP), Yoshihiko Noda yang memperoleh 160 undi.
Ishiba, 67, mengambil alih jawatan pada awal Oktober dan mengadakan pilihan raya mengejut yang diharap dapat menyokong mandatnya sebagai ketua Parti Liberal Demokratik (LDP) yang memerintah.
Walaupun LDP dan parti gabungannya kehilangan majoriti dalam pilihan raya umum itu, mereka kekal sebagai blok terbesar dalam dewan rakyat yang berkuasa di Parlimen.
Dengan parti pembangkang Jepun berpecah dalam banyak isu utama, Ishiba kini mengetuai pentadbiran Jepun melalui kerajaan minoriti dan bakal menghadapi kesukaran untuk meluluskan rang undang-undang baharu.
Bagi mengumpul sokongan mencukupi untuk meluluskan undang-undang pada masa hadapan, blok pemerintah dilaporkan meminta bantuan daripada Parti Demokratik untuk Rakyat (DPP).
DPP bersetuju untuk bekerjasama atas dasar undian walaupun tidak menyertai gabungan itu.
Penganalisis menyuarakan kebimbangan kemungkinan tarif baharu Amerika Syarikat (AS) ke atas barangan China dan Jepun di bawah pentadbiran Presiden terpilih, Donald Trump akan mencetuskan inflasi sekali gus menyukarkan lagi pentadbiran kerajaan minoriti Ishiba.
Pentadbiran Trump juga dijangka mungkin menuntut Jepun meningkatkan perbelanjaan pertahanannya, atau mendorong firma negara itu mengembangkan kilang mereka di AS.-AFP










