BEIRUT: Bilik operasi Hezbollah mendedahkan kerugian besar yang ditanggung oleh tentera Israel akibat serangan unit peluru berpandu dan pertahanan udara kumpulannya di selatan negara berkenaan.
Menurut Al-Mayadeen yang memetik laporan Hezbollah kelmarin, tentera Israel mengalami lebih 70 kematian dan 600 kecederaan dalam pertempuran itu.
Katanya, rejim juga menanggung kerugian aset ketenteraan melibatkan 28 kereta kebal Merkava, empat jentolak, sebuah kenderaan berperisai dan pengangkut tentera.
Selain itu, tiga dron Hermes 450 dan dron Hermes 900 dilaporkan ditembak jatuh, menurut laporan tersebut.
Sebelum ini, Israel mendakwa kira-kira 50 kematian, termasuk 20 askar hilang di dalam Lubnan sejak operasi darat bermula pada awal Oktober.
Hezbollah berkata, tentera Israel gagal untuk menduduki sepenuhnya mana-mana kampung di sepanjang barisan hadapan, dari Naqoura hingga Marwahin.
Walaupun terdapat cubaan untuk menyusup ke kawasan selatan dan menanam bahan letupan, kumpulan Hezbollah menyasarkan pasukan Israel yang cuba mara di Ras Naqoura, Hanita dan kawasan pinggir Dhayra.
Hezbollah melaporkan kerugian besar ditanggung oleh Israel di kawasan berkenaan selepas pertempuran sengit minggu lalu.
Meskipun terdapat pengeboman terhadap sasaran di seluruh Lubnan dan pembunuhan dua pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah serta Hashem Safieddine, tentera Israel tetap tidak dapat mengawal sepenuhnya kawasan yang dipertikaikan di selatan.










