Chile pasang kamera astronomi terbesar dunia

Chile pasang kamera astronomi terbesar dunia

JURUTERA meneliti komponen kamera astronomi terbesar yang akan dipasang di Gurun Atacama, Chile.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANTIAGO: Kamera digital terbesar yang pernah dibina untuk astronomi optik bakal dipasang di bawah langit cerah di pinggir Gurun Atacama di utara Chile.

Kamera terbesar dunia itu mempunyai resolusi melebihi 3.2 gigapiksel, berat hampir tiga tan dan mampu menjalankan penerokaan selama sedekad yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Komponen tersebut akan ditempatkan di Balai Cerap Vera C. Rubin di pinggir padang pasir Atacama, kira-kira 565 kilometer ke utara dari Santiago.

“Semua yang kami perlukan untuk operasi ini sedang diangkut dan bersedia untuk penghantaran. Kami menjangkakan projek pemasangannya selesai hujung tahun ini,” kata Ketua Pegawai Sains Persatuan AURA dan Timbalan Pengarah Pusat NOIRLab, Stuartt Corder.

Menurut laman webnya, balai cerap tersebut meliputi sistem bersepadu kompleks yang terdiri daripada teleskop lapan meter lebar berasaskan darat, kamera, dan sistem pemprosesan data automatik.

Balai cerap itu akan menjana kira-kira 20 terabait data setiap malam dan penerokaannya selama 10 tahun bakal menghasilkan pangkalan data katalog sebanyak 15 petabait.

Matlamat penerokaannya adalah untuk memahami sifat tenaga dan jirim gelap di alam semesta, selain mengkaji kemungkinan bumi berlanggar dengan asteroid atau bintang serta planet yang dekat dengan matahari.

“Itulah detik yang sangat memberi inspirasi di mana anda boleh katakan kami yang memulakannya. 

“Kami sudah bersiap sedia untuk memulakan kempen selama sepuluh tahun bagi menjawab persoalan tentang alam semesta dan pergerakannya serta bagaimana ia akan terus berkembang pada masa hadapan.

“Hasilnya mungkin tidak menyimpang daripada apa yang sudah kita ketahui, tetapi ia akan membantu memperjelas pemahaman kita tentang alam semesta,” jelas Corder.

Chile menjadi tuan rumah sebahagian besar pelaburan dunia dalam astronomi berikutan langit cerah Gurun Atacama yang merupakan padang pasir paling kering di bumi.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN