SYDNEY: Korea Selatan mengadakan perbincangan untuk menyertai sebahagian daripada perjanjian pertahanan Aukus antara Amerika Syarikat (AS), Britain dan Australia beberapa minggu selepas pakatan itu mempertimbangkan untuk memasukkan Jepun.
Ditubuhkan pada 2021, Aukus ialah pakatan keselamatan dua peringkat untuk mengatasi kuasa China yang semakin meningkat di rantau Asia-Pasifik.
Walaupun peringkat pertama untuk memberikan teknologi kapal selam nuklear Australia terhad kepada trio teras, mereka memberi bayangan kemungkinan membenarkan negara lain menyertai peringkat kedua, dipanggil Pillar 2 yang bertujuan untuk berkongsi teknologi ketenteraan lain.
“Korea Selatan boleh menyumbang kepada peringkat kedua itu dengan keupayaan pertahanan, sains dan teknologinya.
“Semasa mesyuarat hari ini, kami juga membincangkan kemungkinan bekerjasama dengan Aukus Pillar 2.
“Kami menyokong aktiviti Aukus Pillar 2 dan kami mengalu-alukan bahawa ahlinya mempertimbangkan Korea Selatan sebagai rakan kongsi baharu misi tersebut.” kata Menteri Pertahanan, Shin Won Sik pada sidang akhbar selepas pertemuan di Melbourne.
Korea Selatan yang mempunyai hubungan rapat dengan AS dan industri pertahanan terkemuka dunia, lama disebut-sebut sebagai rakan kongsi Pillar 2 yang berpotensi bersama Kanada, New Zealand dan Jepun.
Kurang sebulan yang lalu, rakan kongsi Aukus mengumumkan sedang mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan Jepun dalam projek pertahanan Pillar 2 tertentu dan akan mengadakan perbincangan mengenai penglibatannya pada 2024.
“Korea Selatan ialah sebuah negara dengan teknologi yang sangat mengagumkan di mana kita mempunyai nilai yang dikongsi bersama,” kata Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles.
“Apabila Aukus Pillar 2 berkembang, akan ada peluang pada masa hadapan dan kami melihat potensinya juga dengan Jepun,” kata Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles.
New Zealand bagaimanapun berkata, penyertaannya dalam AUKUS masih jauh kerana perlu mempertimbangkan faedah ekonomi dan keselamatan serta mengkaji potensi peluang tersebut sebelum menjalin kerjasama.-REUTERS










