Israel serbu, tangkap penduduk Palestin di Tebing Barat

Israel serbu, tangkap penduduk Palestin di Tebing Barat

KANAK-kanak Palestin melihat serpihan kenderaan perisai Israel yang musnah dalam serbuan di bandar Jenin di Tebing Barat.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH: Berpuluh-puluh rakyat Palestin ditangkap di beberapa wilayah di Tebing Barat, termasuk Baitulaham, Ramallah, Nablus, Hebron, Jenin, dan Baitulmuqaddis.

Menurut kenyataan bersama Persatuan Tahanan Palestin (PPS) dan Pihak Berkuasa Hal Ehwal Tahanan, sejak lewat petang Sabtu, sekurang-kurangnya 20 rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak dan bekas tahanan ditangkap dalam siri serbuan tersebut.

Pejuang Palestin dilaporkan turut terlibat dalam pertempuran sengit dengan tentera Israel yang menyerang bandar Jenin dan Nablus di Tebing Barat yang diduduki sejak awal pagi kelmarin.

Menurut kenyataan itu, serbuan tersebut disertai dengan pencerobohan rumah, penderaan, dan kemusnahan harta benda secara meluas.

Sayap bersenjata gerakan penentangan Jihad Islam, Saraya al-Quds berkata, pejuang dalam Briged Jenin berhadapan dengan tentera Israel yang menyerang bandar dan kawasan sekitar Mahaim. 

Pergerakan itu berkata, jentolak digunakan oleh tentera Israel untuk memusnahkan infrastruktur dan rumah-rumah di kawasan berkenaan.

Pejuang penentang juga bertempur dengan tentera Israel yang menyerang di Kem Askar Lama Nablus.

“Ini berikutan serbuan tentera Israel ke atas beberapa bandar pada  Sabtu termasuk Yabrud, Ni’lin, dan Beit Rima di Ramallah,” katanya.

Kenyataan itu juga menunjukkan sejak 7 Oktober tahun lalu, jumlah keseluruhan rakyat Palestin yang ditangkap oleh tentera Israel sudah meningkat kepada lebih 8,875 orang. 

Angka ini termasuk mereka yang diambil dari rumah mereka serta di pusat pemeriksaan tentera.

Dalam pada itu, peneroka Yahudi haram juga tidak henti-henti mencetus kekacauan dengan bertindak menebang pokok zaitun milik rakyat Palestin di perkampungan Dhahr al-Abad di barat daya Jenin di utara Tebing Barat yang diduduki.

Ketua Majlis Perkampung Dhahr al-Abed, Tareq Amarneh memberitahu wartawan WAFA, peneroka menyerang kawasan timur kampung itu dan menebang 15 pokok zaitun milik penduduk menggunakan gergaji elektrik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×