MADRID: Kawasan berbatu kecil di utara Afrika yang ditakluki oleh Sepanyol pada tahun 1564, memegang gelaran sempadan negara terkecil di dunia yang berukuran hanya sepanjang 85 meter.
Sepanyol mempunyai hampir 2000 kilometer sempadan darat dengan Portugal dan Perancis, termasuk sempadan yang lebih kecil dengan negara seperti Andorra, Gibraltar dan Maghribi.
Dengan Maghribi, Sepanyol berkongsi sempadan darat terkecil di dunia dikenali sebagai Penon de Velez de la Gomera yang menghubungkan batu berukuran kira-kira 19,000 meter persegi ke pantai negara benua Afrika itu.
Penon de Velez de la Gomera menjadi wilayah Sepanyol selepas ditakluki oleh Laksamana Pedro de Estopinan, walaupun Maghribi berulang kali menuntutnya.
Menurut Oddity Central, Sepanyol tidak pernah bersetuju untuk mengembalikan tanah itu dan kini ia hanya didiami pasukan tentera yang dikerah bagi menguatkuasakan pemerintahannya di kawasan berkenaan.
Anggota tentera digilir setiap bulan untuk tinggal di kemudahan sederhana tanpa bekalan air atau elektrik dan mereka hanya bergantung kepada kapal Tentera Laut Sepanyol yang menghantar bekalan secara tetap ke lokasi itu.
“Penon de Velez de la Gomera dipanggil ‘kawasan kedaulatan” yang dimiliki Sepanyol di Afrika Utara, bersama dengan Ceuta, Melilla, Peñón de Alhucemas, Kepulauan Chafarinas dan Isla de Perejil.
“Status undang-undangnya ialah wilayah bukan autonomi di bawah pentadbiran Sepanyol. Menariknya, batu tandus ini adalah sebuah pulau sehingga tahun 1934 apabila gempa bumi mencipta tanah genting kecil dan mengubahnya menjadi semenanjung.
“Sempadan darat ini secara rasmi diiktiraf sebagai yang terkecil di dunia,” jelas laporan itu.










