DUBAI: Syarikat Dana Gas milik Emiriah Arab Bersatu (UAE) menggantung operasi di kompleks gas di wilayah autonomi Kurdistan di Iraq ekoran serangan dron yang mengorbankan empat orang.
Kompleks Khor Mor milik firma UAE dibedil beberapa kali dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi serangan pada Jumaat lalu adalah insiden maut pertama.
Menurut Dana Gas dalam satu kenyataan kepada Bursa Sekuriti Abu Dhabi, empat pekerja maut dan lapan lagi cedera apabila dron itu memusnahkan tangki simpanan kondensat.
“Walaupun terdapat kerosakan kecil pada kemudahan, demi keselamatan semua kakitangan dan kemudahan, kami sudah menangguhkan pengeluaran buat sementara waktu dan memulakan perubahan prosedur khusus,” katanya.
Serangan roket Katyusha yang tidak dituntut menyasarkan kompleks berkenaan beberapa kali sejak beberapa tahun lalu tanpa menyebabkan kerosakan yang ketara.
Pegawai Kurdish sebelum ini menyalahkan kumpulan pro-Iran atas serangan itu.
Pihak berkuasa elektrik tempatan berkata, serangan pada Jumaat lalu mengganggu bekalan gas ke loji janakuasa di rantau itu, mengakibatkan kehilangan 2,500 megawatt (MW) elektrik.
Pasukan keselamatan Iraq membentuk jawatankuasa penyiasat untuk menyiasat insiden itu, berikrar bahawa penyerang akan dihukum.
Dana Gas memaklumkan bekerjasama dengan pihak berkuasa kerajaan untuk meningkatkan langkah keselamatan dan pertahanan bagi membolehkan pengeluaran semula di kemudahan gas Khor Mor.
Medan gas Khor Mor terletak di antara bandar Kirkuk dan Sulaimaniyah, di wilayah yang ditadbir oleh pihak berkuasa Kurdish.
Menurut jurucakap kerajaan wilayah Kurdistan, Peshawa Hawramani, kesemua empat yang terbunuh dalam serangan berkenaan adalah warga Yemen.
Pada bulan Januari, dua Katyusha menyasarkan medan gas, menyebabkan kebakaran tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketika itu, kumpulan Iraq pro-Iran menyerang pangkalan tentera yang menempatkan tentera Amerika Syarikat (AS) di Iraq dan negara jiran Syria.-AFP










