Dapur makanan WCK kembali beroperasi di Gaza

Dapur makanan WCK kembali beroperasi di Gaza

SEORANG lelaki Palestin membawa kotak bantuan makanan yang disediakan WCK di Rafah di selatan Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: The World Central Kitchen (WCK) mengumumkan akan menyambung semula operasi di Gaza selepas menggantung usaha kemanusiaan di wilayah itu sejak awal bulan ini berikutan serangan Israel yang mengorbankan tujuh kakitangannya.

Menurut WCK, pasukannya di Palestin akan menghantar bantuan makanan, termasuk ke bahagian utara Semenanjung Gaza yang diketahui amat sukar untuk diakses.

“Kami memulakan semula operasi kami dengan tenaga, maruah dan fokus yang sama untuk memberi makan kepada seramai mungkin orang.

“Sehingga kini, kami sudah mengagihkan lebih 43 juta makanan, dan kami tidak sabar untuk menghantar berjuta-juta lagi.

“Makanan adalah hak sejagat dan kerja kami di Palestin menjadi misi yang paling menyelamatkan nyawa dalam sejarah organisasi ini selama 14 tahun. Kami akan terus mendapatkan seberapa banyak makanan ke Gaza, termasuk di utara melalui darat, udara atau laut,” kata Ketua Pegawai Eksekutif WCK, Erin Gore.

Jelas Gore, badan itu mempunyai 276 trak yang bersedia untuk masuk melalui Lintasan Rafah dan Jordan selain berusaha mencari alternatif menggunakan koridor maritim dari Cyprus serta Pelabuhan Ashdod.

“Kami telah dipaksa untuk membuat keputusan yang berat. Memilih sama ada berhenti memberi makan semasa salah satu krisis kelaparan  paling teruk pernah berlaku atau meneruskan misi ini walaupun mengetahui pekerja kami dan orang awam berisiko diugut serta dibunuh.

“Akhirnya, kami memutuskan kami mesti terus memberi bantuan, meneruskan misi kami untuk hadir menyediakan makanan kepada orang ramai pada masa yang paling sukar ini,” kata Gore.

Pada 1 April lalu, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) menembak tiga peluru berpandu ke arah kenderaan konvoi bantuan yang tertera lencana WCK.

Siasatan IDF mendapati, pegawainya sendiri yang bertanggungjawab mengarahkan serangan itu kerana mengesyaki operasi bersenjata Hamas berada di belakangnya, namun sangkaan itu ternyata salah.

Tujuh pekerja bantuan terkorban dalam serangan itu melibatkan tiga warga Britain, seorang Australia, warga Poland, dua warganegara Amerika-Kanada dan seorang rakyat Palestin.

Di tengah-tengah kemarahan antarabangsa, Israel mengakui insiden tragis itu tidak disengajakan malah berjanji untuk menyiasat di peringkat tertinggi.

IDF berkata, siasatannya mendapati berlaku kesilapan serius serta pelanggaran prosedur dan bertindak memecat dua pegawai kanannya selain mengeluarankan amaran kepada anggota komander senior.

Israel turut dilihat berusaha untuk meyakinkan WCK supaya kembali ke Gaza sejak serangan berkenaan kerana badan itu merupakan penyumbang makanan terbesar lebih 62 peratus daripada semua bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa di wilayah berkenaan.

WCK yang mempunyai dua dapur pengeluaran tinggi di Rafah dan Deir al-Balah mengumumkan akan membuka dapur ketiga di kawasan pantai Mawasi. 

Usaha terbaharu itu akan dinamakan ‘Dapur Damian’ sempena nama pekerja bantuan Poland, Damian Soból yang  terbunuh pada 1 April lalu. 

Tentera Israel berkata, penghantaran bantuan ke Gaza akan terus meningkat dalam beberapa hari akan datang, ketika rejim Zionis bersiap sedia untuk serangan di bandar selatan Rafah dan berdepan tekanan antarabangsa berhubung situasi kemanusiaan meruncing di seluruh Palestin.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN