Israel teruskan kekejaman di bulan Ramadan

Israel teruskan kekejaman di bulan Ramadan, sasar penduduk Gaza yang kelaparan

SEORANG wanita menyapu air mata ketika melalui runtuhan bangunan kediaman di bandar Hamad di barat Khan Younis.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Sekurang-kurangnya 29 rakyat Palestin terbunuh ketika menunggu bantuan kemanusiaan dalam dua serangan berasingan Israel di Semenanjung Gaza kelmarin, lapor Kementerian Kesihatan Gaza.

SERANG PENDUDUK AWAM

Kejadian pertama menyaksikan lapan orang terbunuh dalam serangan udara ke atas pusat pengedaran bantuan di kem Al-Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza.

Kemudian, sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dan lebih 150 lagi cedera akibat tembakan Israel ke arah orang ramai yang menunggu trak bantuan di bulatan utara Gaza.

Menurut pegawai kesihatan Palestin, mangsa yang maut dan cedera akibat serangan kedua dibawa ke hospital al Shifa.

Bagaimanapun, tentera Israel enggan bertanggungjawab terhadap kedua-dua serangan kejam itu malah mendakwa laporan kejadian tersebut sebagai palsu. 

“Ketika Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menilai insiden itu dengan ketelitian yang sepatutnya, kami menggesa media untuk melakukan perkara  sama dan hanya bergantung kepada maklumat yang boleh dipercayai,” kata IDF dalam satu kenyataan.

Konflik Gaza selama lima bulan menyebabkan sebahagian besar daripada 2.3 juta penduduk di kawasan itu kehilangan tempat tinggal dan mereka terpaksa berebut ketika pengagihan bantuan akibat kelaparan.

Di Deir Al-Balah, juga di tengah Gaza, bedilan peluru berpandu Israel memusnahkan sebuah rumah, menyebabkan sembilan penghuninya terbunuh.

Pihak berkuasa Hamas melaporkan lebih 40 serangan udara di seluruh Gaza dari Beit Hanoun di utara ke Rafah di selatan, di mana kebanyakan penduduk mencari perlindungan.

Umpama tidak menghormati bulan Ramadan, Israel mengancam serangan darat dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu malah menggandakan ikrar untuk menyerang Rafah.

“Terdapat tekanan antarabangsa untuk menghalang kami daripada memasuki Rafah dan menyelesaikan tugas itu.

“Saya akan terus menangkis tekanan dan kami akan memasuki Rafah dan membawa kemenangan sepenuhnya kepada rakyat Israel,” katanya ketika melawat pangkalan risikan lapangan.

USAHA GENCATAN SENJATA

Kira-kira 1.5 juta rakyat Palestin mencari perlindungan di sepanjang sempadan selatan Gaza dengan Mesir di Rafah.

Namun jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari berkata, sebilangan besar daripada mereka perlu dipindahkan ke ‘pulau kemanusiaan’ yang akan diwujudkan bersama masyarakat antarabangsa.

Perang bermula dengan serangan Hamas pada 7 Oktober lalu di selatan Israel, menyebabkan 1,200 orang terbunuh dan 253 diculik sebagai tebusan, berdasarkan kenyataan pihak berkuasa Israel.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, serangan balas Israel yang masih berterusan sudah mengorbankan lebih 31,341 penduduk Palestin dan mencederakan lebih 71,500 mangsa kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Usaha mencapai pengisytiharan gencatan senjata antara Israel dan pejuang Hamas setakat ini gagal dan tidak menampakkan sebarang potensi untuk berjaya.

Walaupun Israel berkata ia mencari perjanjian yang akan menjamin pembebasan tebusan di Gaza sebagai pertukaran untuk membebaskan rakyat Palestin yang dipegang oleh Israel, Hamas menegaskan perjanjian harus mempersetujui penamanatan perang.

Semalam, Hamas berkata, pihaknya menyampaikan visi komprehensif kepada pengantara mengenai perjanjian gencatan senjata.

Ia merangkumi penamatan pencerobohan Israel terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, penghantaran bantuan, mengembalikan penduduk Gaza ke rumah mereka dan penarikan balik tentera Israel dari Gaza.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bagaimanapun mendakwa pendirian baharu Hamas adalah berdasarkan ‘permintaan yang tidak munasabah’.- REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN