ISLAMABAD: Dua parti politik utama di Pakistan memaklumkan sudah mencapai perjanjian perkongsian kuasa yang bakal menamakan bekas pemimpin, Shehbaz Sharif ke jawatan perdana menteri.
Ia sekaligus mengakhiri rundingan sengit 10 hari selepas pilihan raya umum diadakan baru-baru ini gagal menentukan pemenang.
Parti Liga-N Muslim Pakistan (PML-N) dan Parti Rakyat Pakistan (PPP) mengesahkan sudah menyelesaikan rundingan bagi mendapatkan majoriti untuk membentuk kerajaan campuran yang turut melibatkan beberapa parti kecil.
Calon yang setia kepada bekas Perdana Menteri, Imran Khan yang dipenjara sejak Ogos tahun lalu, memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya Pakistan namun terpaksa bertanding sebagai calon bebas berikutan tindakan keras terhadap parti itu.
PML-N dan PPP bakal menamakan Shehbaz sebagai perdana menteri dan Asif Ali Zardari iaitu suami kepada bekas perdana menteri, Benazir Bhutto yang dibunuh, sebagai presiden.
“PPP dan PML-N sudah mencapai jumlah itu dan kami akan membentuk kerajaan.
“Kami berharap Shehbaz akan menjadi perdana menteri negara ini tidak lama lagi dan seluruh rakyat Pakistan perlu berdoa agar kerajaan berjaya,” kata pengerusi PPP, Bilawal Bhutto Zardari yang merupakan anak kepada Asif dan Benazir dalam sidang akhbar.
Dalam pada itu, Shehbaz berkata, Pakistan masih bergantung kepada pinjaman meskipun sudah 76 tahun negara mencapai kemerdekaan.
Katanya, langkah mengatasi situasi itu adalah lebih mudah diucapkan berbanding dilakukan.
“Terdapat cabaran besar yang sedang dihadapi. Kita perlu membawa Pakistan keluar daripada cabaran ini,” katanya.
Sementara itu, Bilawal berkata, portfolio menteri sudah dipersetujui dan akan diumumkan dalam masa beberapa hari lagi.
Perhimpunan Negara harus bersidang buat pertama kali pada 29 Februari ini, apabila gabungan itu boleh diluluskan secara rasmi.
Dilaporkan, kedua-dua parti itu bergabung pada 2022 untuk menggulingkan Imran Khan menerusi undi tidak percaya sebelum berkongsi kuasa dalam pakatan diterajui Shehbaz, sehingga Dewan Negara dibubarkan pada Ogos tahun lalu bagi memberi lalu kepada pilihan raya umum. – AFP










