MONTREAL: Ratusan ribu kediaman di timur Kanada terputus bekalan elektrik sejak semalam selepas dilanda ribut musim sejuk yang mengorbankan tiga orang dan menyebabkan kerosakan harta benda meluas khususnya di Montreal.
Kira-kira 400,000 rumah di Quebec berada dalam kegelapan, namun angka itu menurun daripada 1.1 juta ketika pada waktu puncak gangguan.
Menurut jurucakap pembekal elektrik, Hydro-Quebec, Regis Tellier, pihaknya berjaya memulihkan bekalan elektrik kepada lebih 50 peratus pelanggan yang terjejas akibat gangguan itu.
“Pasukan kami sedang bekerja keras dan kami yakin 200,000 pelanggan lagi akan mendapat bekalan elektrik dalam masa terdekat,” katanya.
Bagaimanapun, Tellier berkata, beberapa kawasan perumahan akan terputus bekalan elektrik sehingga kemungkinan Isnin ini.
“Kami percaya keadaan cuaca yang lebih baik mampu mempercepatkan pemulihan perkhidmatan,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri Quebec, Francois Legault mengesahkan mangsa ketiga meninggal dunia akibat keracunan karbon monoksida selepas individu itu menggunakan penjana mudah alih di rumahnya kira-kira 40 kilometer (km) di barat laut Montreal.
Dilaporkan, seorang penduduk di timur Ontario maut dihempap pokok tumbang pada Rabu lalu, manakala warga emas di Quebec meninggal dunia apabila mangsa dihempap dahan pokok ketika cuba membersihkan tanahnya, awal Khamis lalu.
Montreal, yang menyumbang kira-kira separuh daripada jumlah penduduk terjejas gangguan bekalan elektrik, membuka enam pusat perlindungan kecemasan sementara bagi menempatkan semua mangsa.
Ribut itu menjejaskan Quebec dan Ontario yang merupakan dua wilayah paling ramai penduduk di Kanada. – AFP










