`Kami bersatu sebab Covid-19’ - Utusan Malaysia

`Kami bersatu sebab Covid-19’

HAMPIR sembilan daripada 10 responden warga Singapura menganggap kerajaan menangani pandemik Covid-19 dengan baik. - AFP  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Satu tinjauan mendapati tiga perempat rakyat republik ini berpandangan Covid-19 lebih menyatupadukan mereka berbanding sebelum pandemik.     

Ia amat berbeza dengan kebanyakan negara lain terutamanya Malaysia apabila rakyatnya merasakan Covid-19 merupakan penyebab negara menjadi kucar-kacir.    

Kajian dikeluarkan badan pemikir penyelidikan Amerika Syarikat (AS), Pew mendedahkan hampir sembilan daripada 10 responden warga Singapura berpandangan kerajaan menangani krisis pandemik Covid-19 dengan baik.

Kira-kira 75 peratus rakyat Singapura pula menganggap kerajaan berjaya mengendalikan pandemik koronavirus dengan berkesan secara tidak langsung menunjukkan kekuatan sistem politik negara itu.

Tinjauan membabitkan seramai 24,525 individu di 19 negara ekonomi maju itu mendapati rakyat Singapura masih menyerlah apabila lebih tujuh daripada 10 responden menyifatkan vaksinasi amat penting untuk masyarakat.      

Tinjauan dijalankan dari 14 Februari hingga 3 Jun lalu, memfokuskan mengenai sikap rakyat terhadap pandemik Covid-19 di kebanyakan negara di seluruh Amerika Utara, Eropah, Asia Barat dan Asia Pasifik. 

Sebahagian besar penduduk di 13 negara merasakan masyarakat lebih berpecah-belah dan menjadi kucar-kacir berbanding sebelum pandemik.

AS mencatatkan bilangan responden paling tinggi iaitu 81 peratus yang merasakan sedemikian, disusuli Belanda sebanyak 80 peratus dan Jerman pula 78 peratus. 

Sebaliknya, sebanyak 75 peratus responden di Singapura beranggapan rakyat negara ini lebih bersatu padu berbanding sebelum pandemik. 

Singapura, Sweden (60 peratus) dan Malaysia (58 peratus) adalah antara negara yang sebahagian besar responden mereka berpandangan sedemikian.   

* PENGURUSAN PANDEMIK 

Tinjauan itu turut mendapati sebanyak 88 peratus responden Singapura merasakan kerajaan sudah melakukan yang terbaik dalam menangani pandemik Covid-19.

Pew dalam satu laporan menyatakan Singapura, sebahagian besarnya, berjaya menangani penularan wabak sebelum penghasilan vaksin yang berkesan.

Sweden paling hampir, dengan 82 peratus responden juga menilai tinggi terhadap tahap pengendalian pandemik di negara mereka.

Situasi itu berbeza dengan Jepun dan Korea Selatan yang mana masing-masing sebanyak 47 peratus responden dan 43 peratus responden merasakan kerajaan gagal menguruskan pandemik dengan baik.

Bagaimanapun, majoriti responden di kebanyakan negara ditinjau menganggap kerajaan melaksanakan kaedah pengurusan pandemik Covid-19 yang berkesan.  

Namun, sebanyak 11 daripada 19 negara itu, sebahagian besar responden berpendapat kerajaan gagal menangani pandemik dengan berkesan sekaligus menunjukkan kelemahan sistem politik di negara itu. 

Ini termasuk sebanyak 66 peratus responden AS merasakan sedemikian, diikuti dengan Jepun (57 peratus) dan Australia (55 peratus). – CNA 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya