Jacobabad, bandar paling panas dunia suhu cecah 51 Celcius - Utusan Malaysia

Jacobabad, bandar paling panas dunia suhu cecah 51 Celcius

SEORANG wanita mengipas anaknya yang kepanasan di tengah-tengah suhu yang semakin meningkat di Jacobabad di Pakistan. - AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Sebuah bandar di Pakistan dinamakan sebagai bandar paling panas di dunia.

Memetik laporan Mirror, Jacobabad yang terletak di wilayah Sindh dan mempunyai kira-kira 200,000 penduduk, memiliki tahap kepanasan melampau.

Baru-baru ini, suhu di Jacobabad mencecah 51 darjah Celsius, tahap sangat membimbangkan selepas mengambil kira rekod suhu terpanas di bumi iaitu 56.7 darjah Celsius di Death Valley.

Dilaporkan, bekalan elektrik kerap terputus di bandar itu, malah telefon pintar juga menjadi terlalu panas.

Penduduk juga jarang melakukan aktiviti luar pada waktu siang kerana amat berbahaya dan lebih cepat berpeluh. 

Gelombang haba yang melanda Jacobabad baru-baru ini, mencetuskan kebimbangan bagaimana krisis iklim menjejaskan golongan paling terdedah di dunia.

Kesihatan penduduk di bandar itu kerap terjejas ketika musim panas yang ekstrem.

Bacaan suhu melebihi 35 darjah Celsius bermakna melepasi paras yang boleh diterima tubuh manusia sekali gus boleh menyebabkan keletihan haba dengan cepat.

Oleh itu, ramai penduduk di Jacobabad memilih untuk bekerja pada waktu malam ketika cuaca lebih sejuk dan tidur di siang hari semasa panas melampau.

Malah, sering kali pada musim panas, orang ramai akan berpindah buat sementara waktu ke bandar yang lebih sejuk.

Wanita dan kanak-kanak dikatakan terjejas teruk pada musim panas ekstrem berikutan kes bayi lahir mati semakin meningkat dan kanak-kanak berisiko mengalami dehidrasi dan kekurangan zat makanan.

Bagi mengatasi masalah itu, penduduk membantu dengan mengagihkan air di tepi jalan untuk membantu mereka yang berisiko.

Malah, beberapa pusat strok haba dibuka pada musim panas untuk merawat mana-mana penduduk yang menjadi mangsa cuaca panas melampau di bandar itu.        

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya