MELBOURNE: Pihak polis mengepung pusat bandar Sydney dengan meletakkan beberapa pusat pemeriksaan bagi mencegah aksi tunjuk perasaan yang membantah perintah sekatan.
Seramai 1,000 anggota polis dikerahkan di seluruh Sydney bagi menghalang sebarang protes dan pihak polis turut mengeluarkan notis melarang perkhidmatan teksi dan e-hailing bagi membawa penumpang ke lokasi demonstrasi.
Protes yang dianjurkan minggu lalu menyaksikan beberapa siri tangkapan dan pertempuran orang awam dengan anggota polis.
New South Wales (NSW) yang merupakan negeri paling ramai penduduk di Australia merekodkan sebanyak 210 kes baharu Covid-19 akibat penularan varian Delta.
Sydney dan kawasan sekitarnya dikenakan perintah sekatan pergerakan selama berminggu-minggu yang dijangka berakhir hujung bulan depan.
Di bandar itu, terdapat 198 orang ditahan di hospital, dengan 53 daripadanya berada di unit rawatan rapi dan 27 pesakit memerlukan mesin ventilator.
Menteri Kesihatan NSW, Brad Hazzard berkata, terdapat satu kes kematian dilaporkan sekali gus menjadikan jumlah kes kematian bertambah kepada 14 orang. -REUTERS










