BENGALURU: Seorang lelaki yang ditahan polis kerana disyaki menelan seutas rantai emas selepas meragut seorang wanita dipaksa makan pisang dan ubat pelawas untuk mengeluarkan gelang tersebut.
Lapor News18, suspek lelaki yang berusia 21 tahun dikenali sebagai Vijay Thali, ditahan polis pada 21 Ogos lalu selepas ditangkap orang ramai kerana meragut rantai emas dari seorang wanita di sini.

Thali dipercayai melakukan perbuatan itu bersama dua rakan subahatnya, namun mereka berjaya melepaskan diri dan kini menjadi buruan polis.
Lelaki itu kemudiannya dibawa ke balai polis sebelum dihantar ke hospital bagi merawat kecederaannya akibat dipukul dan hasil imbasan sinar X mendapati Thali menelan rantai emas tersebut.
Namun, lelaki itu tidak mengakui menelan rantau emas berkenaan dan memaklumkan objek dalam imbasan itu merupakan tulang yang ditelannya sebelum kejadian.
Polis yang enggan percaya tipu helah Thali memaksa lelaki itu makan sejumlah pisang dan memberinya cecair pelawas bagi mengeluarkan rantai emas tersebut.
Selepas seketika, rantai emas itu berjaya dikeluarkan dan Thali bakal disabit dengan kesalahan meragut.










