PADA 25 Mac 2021, aktiviti perdagangan dunia digegarkan dengan insiden kapal kontena Ever Given milik syarikat Maersk yang tersangkut di terusan Suez akibat ribut pasir.
Akibatnya, aktiviti perdagangan dunia yang melibatkan sektor perkapalan terbantut dan menimbulkan pelbagai spekulasi.
Terusan Suez adalah terusan buatan manusia yang menghubungkan laut Mediterranean dan Laut Merah yang sepanjang kira-kira 193 kilometer.
Terusan ini mula beroperasi pada 17 November 1869 dan memainkan peranan penting dalam
menghubungkan aktiviti perdagangan dari Asia ke Eropah melalui Afrika.
Mengikut statistik, terusan ini dilalui lebih daripada 17,000 kapal terdiri daripada pelbagai saiz setiap tahun dan ini merangkumi hampir 10 peratus komoditi dunia.
Akibat insiden Ever Given, kesesakan teruk berlaku di sepanjang Laut Merah, sekali gus menyebabkan kelewatan proses pergerakan kapal yang bersedia untuk berlepas dari pelabuhan.
Dalam masa yang sama, insiden itu turut menjejaskan jangkaan waktu tiba (estimated time arrival) kapal di pelabuhan dan memberi kesan kepada rangkaian logsitik di sesebuah negara.
Insiden ini dikhuatiri turut berlaku kepada Selat Melaka yang juga antara laluan utama perdagangan dunia.
Selat Melaka yang menghubungkan Asia dengan Eropah melalui Laut China Selatan dengan Lautan Hindi sudah sekian lama menggalas tanggungjawab yang lebih besar berbanding dengan selat atau terusan lain di dunia.
Selat Melaka yang berukuran 800 kilometer panjang dilalui lebih 80,000 kapal komoditi setiap tahun yang merangkumi 25 peratus daripada komposisi perdagangan dunia.
Justeru itu, langkah berjaga-jaga harus diambil supaya kejadian sama seperti yang menimpa Terusan Suez tidak berlaku di Selat Melaka.
Di Selat Melaka terdapat 6 zon ‘Choke Points’ yang bermula dari Port Klang sehingga Batu Berhanti di Singapura.
Kesemua zon ini memerlukan sistem pengawasan yang kritikal bagi meneruskan sistem perdagangan efektif di rantau ini.
Antara langkah yang boleh diambil ialah mewujudkan Pusat Logistik Kecemasan (ELC) di pelabuhan Malaysia terutamanya di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
Fungsi utama ELC bertujuan memastikan operasi di Selat Melaka tidak terjejas jika musibah maritim (maritime disasters) berlaku contohnya perlanggaran antara kapal, kapal tenggelam atau tersangkut, kebakaran kapal dan sebagainya.
Penubuhan ELC ini adalah kritikal dan boleh dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Pelabuhan Malaysia, Kementerian Pengangkutan, Agensi Penguatkuasa Maritim serta kerjasama dengan jabatan berkaitan dari negara serantau yang bersempadan dengan Selat Melaka iaitu Indonesia, Thailand serta Singapura.
Kumpulan penyelidik di bawah Maritime Business and Hinterland, Universiti Malaysia Terengganu giat mengkaji sistem ELC dan Logistik Kemanusiaan.
Kedua dua komponen ini bakal menjadi daya penarik utama kepada kapal kargo mega yang bakal mengunakan Selat Melaka sebagai laluan utama dalam aktiviti perkapalan pada masa.
Melalui pelaksanaan dua komponen ini, diyakini pelabuhan utama di Malaysia yang berada di sepanjang Selat Melaka akan menjadi Port of Destination (POD) atau Port of Transhipment (POT) seterusnya dapat menyuntik perkembangan ekonomi negara dan serantau.
Dr. Jagan Jeevan adalah pensyarah kanan di Fakulti Pengajian Maritim, Universiti Malaysia Terengganu (UMT)










