NEW YORK: Seorang lelaki sanggup melakukan rompakan di bank semata-mata ingin mendapatkan duit untuk membeli kereta jenis BMW.
Lapor Daily Star, Eric Dion Warren, 50, dihukum penjara selama 20 tahun berhubung kesalahan itu yang dilakukannya di bank Wolfforth, Texas, pada Jun 2019.
Mengikut pertuduhan, Warren memandu keluar kereta pandu uji dari sebuah syarikat pengedar sebelum memasuki bank AIM pada pukul 12.45 tengah hari dan menyerahkan sebuah beg dan nota kepada juruwang bank.
“Ini adalah rompakan. Jangan berani bergurau dengan saya kalau tidak mahu mati. Saya mahu AS$10,000 (RM41,184) dalam bentuk wang 50 dan 100, sekarang anda hanya ada satu minit atau saya akan bunuh awak,” tulis nota itu.
Warren kemudian mengeluarkan pistol sehingga menyebabkan juruwang itu ketakutan dan mengeluarkan wang daripada laci serta meletakkan di dalam beg lelaki itu.
Suspek malah memberi amaran kepada juruwang itu supaya tidak menekan sebarang butang penggera.
Warren kemudian memandu semula ke kedai pengedar kenderaan yang meminjamkan kereta pandu uji kepadanya sebelum itu.
Hakim Daerah Amerika Syarikat (AS), James Wesley Hendrix mendapati lelaki itu menyerahkan wang tunai AS$3,000 (RM12,355) sebagai wang pendahuluan hasil rompakan kepada kedai tersebut bagi urusan pembelian kereta.









