Penduduk, tentera Israel sama kejam - Utusan Malaysia

Penduduk, tentera Israel sama kejam

BEBERAPA penduduk Israel yang memakai topeng muka menyerang petani Palestin di Tebing Barat pada Oktober tahun lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH: Seorang rakyat Palestin, Alyan Awad, 49, dalam perjalanan ke tempat tinggal bersama isterinya sebelum tiba-tiba mereka diserang oleh penduduk Israel di kawasan penempatan haram Mitzpe Yair. 

Seorang penyerang mengetuk kepala lelaki itu menggunakan paip besi sehingga tengkoraknya retak dan rahangnya patah, sementara isterinya mengalami lebam yang teruk di kaki pada 10 Mac lalu. 

Ketika anak-anak Alyan menjerit ketakutan di dalam kenderaan, penyerang memecahkan pula cermin kaca di bahagian depan keretanya serta melemparkan batu. 

“Kekejaman terhadap keluarga saya berlaku selama tujuh minit. Muka saya berdarah sehingga tidak sedarkan diri beberapa minit. Saya terpaksa melalui pembedahan untuk menyambungkan semula rahang di sebelah kiri dan merawat luka di bahagian muka,” luahnya. 

Tanah Alyan terletak di timur bandar Yatta di selatan Hebron dan keluarga itu kerap mengunjungi kawasan itu setiap Sabtu bagi menghalang penduduk haram Israel melebarkan kem tentera ke tanah miliknya. 

Ketika kejadian, seorang rakyat Palestin mendengar jeritan keluarga tersebut dan cuba memberikan bantuan. 

Sekumpulan tentera rejim Zionis turut berada berhampiran lokasi kejadian, namun mereka hanya melihat tanpa melakukan apa-apa, malah tidak menahan si penyerang.

“Anggota tentera Israel sepatutnya memberkas penyerang itu, tetapi mereka tidak melakukannya walaupun terang-terangan saya diserang dengan teruk,” kata Alyan. 

Kejadian terbaharu itu menunjukkan siri serangan yang semakin meningkat terhadap penduduk Palestin oleh kumpulan penduduk Yahudi di Tebing Barat. 

Menurut kumpulan hak asasi manusia Israel, BTselem, sebanyak 94 serangan kejam berlaku terhadap penduduk Palestin antara 21 Disember 2020 hingga 13 Mac lalu. 

Kumpulan itu menuduh anggota keselamatan Israel kerana gagal menghentikan serangan dan polis Zionis hanya menutup aduan jenayah yang difailkan oleh mangsa tanpa seorang pun didakwa. 

Seorang penyelidik dengan organisasi hak kebebasan manusia Israel Yesh Din, Munir Kadus menyifatkan serangan terkini itu merupakan peningkatan keganasan yang belum pernah terjadi terhadap rakyat Palestin di seluruh Tebing Barat. 

Antara 2005 hingga 2019, kumpulan itu merekodkan 1,293 kes serangan penduduk Israel terhadap rakyat Palestin dengan hanya lapan peratus penyiasatan terhadap insiden itu dibawa ke muka pengadilan. 

Sebanyak 500,000 penduduk Israel tinggal di 250 penempatan haram di Tebing Barat. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN