BAITULMUQADDIS: Empat anggota dari kumpulan kuartet Asia Barat dilaporkan membincangkan semula `rundingan bermakna’ bagi menyelesaikan konflik Israel-Palestin.
Badan yang melibatkan Amerika Syarikat (AS), Rusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU) itu mengadakan mesyuarat pertama sejak Presiden Joe Biden mengambil alih White House.
“Pegawai berkenaan bertemu secara maya untuk membincangkan kembali rundingan bermakna yang akan menjurus kepada penyelesaian kedua-dua negara.
“Ini termasuk langkah-langkah ketara untuk meningkatkan kebebasan, keselamatan dan kemakmuran penduduk Palestin dan Israel yang amat penting buat mereka,” jelas PBB dalam satu kenyataan.
Badan itu membincangkan mengenai `keperluan pihak berkenaan berhenti melakukan tindakan sehala yang menyukarkan lagi penyelesaian dicapai, dengan merujuk kepada peluasan penempatan Yahudi di wilayah Tebing Barat.
Mesyuarat itu diadakan ketika Israel mengadakan pilihan raya keempat dalam tempoh kurang daripada dua tahun dengan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu cuba mengekalkan rekod pemerintahannya selama 12 tahun berturut-turut.
Peluasan penempatan Yahudi di Tebing Barat dilaporkan semakin berkembang di bawah pemerintahannya.
Malah, komuniti secara meluas menganggap isu tersebut melanggar undang-undang antarabangsa.
Kuartet itu dilaporkan tidak aktif ketika pemerintahan bekas presiden AS, Donald Trump yang disifatkan oleh penduduk Palestin sebagai bersikap berat sebelah terhadap Israel.
Bekas presiden itu berdiam diri ketika Israel mengumumkan projek baharu untuk memperluas penguasaannya di Tebing Barat. – AFP










