BAHRAIN: Sebuah kafe cuba mencipta kelainan apabila menghidangkan minuman dalam botol susu.
Lapor Oddity Central, Kafe Einstein yang mempunyai cawangan di Emiriah Arab Bersatu, Kuwait dan Bahrain menggantikan penggunaan cawan kertas yang biasa dihidangkan kepada pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif, francais Einstein di UAE, Yuones Molla berkata, botol susu itu disediakan khas bersama puting silikon lutsinar dan memberikan impak besar kepada perniagaan tersebut.
Katanya, setiap pelanggan mahu mencuba botol baharu malah ada yang menempah meja lebih awal.
“Semua pelanggan mahu membelinya, ada yang memberitahu datang bersama rakan, ayah dan ibu mereka.
“Selepas beberapa bulan mengharungi pandemik yang mencabar, pelanggan datang ke kafe mengambil gambar dan bergembira kerana mengenang memori semasa kecil,” katanya.
Menurut Yuones, botol bayi itu mendapat perhatian meluas sehingga ada pelanggan yang datang membawa botol sendiri ke kafe berlainan dan meminta mengisi minuman di dalamnya.
Bagaimanapun, penggunaan botol itu menerima kecaman negatif daripada pengguna media sosial yang menyifatkan sebagai aib dan memalukan kepada Islam sehingga sampai ke pengetahuan pihak kerajaan.
Pihak berkuasa di Dubai menyerbu kafe itu, Kuwait memutuskan untuk menutup premis tersebut, manakala, pemilik kafe di Bahrain dan Oman diberi amaran penyediaan minuman dalam botol itu melanggar budaya dan tradisi.










