KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Sabah) sepatutnya melaksanakan perintah ‘kuarantin’ terhadap Ahli Parlimen Lahad Datu itu sehingga tamat tempoh berkempen kerana jika dibiarkan Datuk Mohamaddin Ketapi terus berucap, maka ranaplah momentum positif dibina Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Gara-gara gemar buat jenaka, Mohamaddin dilihat mengambil langkah sumbang apabila memperkotak-katikkan pengorbanan anggota keselamatan dalam peristiwa berdarah, Op Daulat di Kampung Tanduo, Lahad Datu sehari sebelum hari pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam.
Apa yang keluar daripada mulut Mohamaddin tidak ubah seperti ‘batu besar’ yang menghempap bahu Shafie.
Ketika ditemui pemberita kelmarin, Shafie dilihat mengambil pendekatan selamat dengan tidak membela Mohamaddin sebaliknya berkata, “dia susah minta maaf dan saya akan panggil dia,” jawabnya ringkas.
Mengulas perkara itu, penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali berkata, Presiden Warisan berkenaan berkemungkinan tidak boleh melelapkan mata kerana memikirkan 16,877 pengundi dalam kalangan anggota polis dan tentera yang mengundi awal di 55 pusat pengundian semalam.
“Sebagai ahli politik berjawatan tinggi dalam parti, dia (Mohamaddin) tak sepatutnya cakap begitu. Walaupun, dia cakap tidak menghina tetapi secara tidak langsung memperolokkan perkara itu.
“Ia akan memberi kesan kepada pengundian awal hari ini (semalam). Sudah tentu apabila menyentuh isu keselamatan, walaupun tentera dan polis yang mengundi awal bukan mereka yang terlibat ketika itu, mereka akan tetap terkesan,” kata beliau dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kepada Utusan Malaysia semalam.
Sebenarnya, ketika berucap dalam majlis sama, Mohamaddin juga lancang mengkritik komitmen Persekutuan menangani Covid-19 yang meletakkan kawasan pantai timur Sabah sebagai zon merah.
Beliau menyifatkan, prosedur berkenaan hanyalah propaganda politik ekoran kawasan berkenaan didakwa kubu kuat Warisan.
“Jadi kita jangan percaya. Kali ini saya dengar dua, tiga hari sebelum akan diviral nanti bahawa dia bilang menular. Sangat serius di Silam, Lahad Datu, Segama dan macam-macam.
“Ada lagi mainan dia orang, kononnya pada hari mengundi itu ada orang disuruh pura-pura pengsan di situ. Kerana Covid-19 konon. Kalau ada kamu nampak orang pengsan di situ, bagus kamu tendang pijak dia,” katanya calon Warisan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama. – UTUSAN










