Di sebalik langit biru dan tiupan angin, Wau Kapal Selangor, suatu ketika dulu pernah menjadi pemandangan biasa di beberapa kawasan pesisir negeri ini, khususnya di Jeram, Kuala Selangor.
Namun, seiring peredaran masa dan perubahan gaya hidup, seni permainan wau traditional ini semakin jarang kelihatan dan kini hanya dikenali oleh segelintir penggiat warisan.
Hari ini, usaha mengangkat kembali martabat Wau Kapal Selangor, mula menunjukkan perkembangan positif apabila ia diiktiraf sebagai identiti tradisi Negeri Selangor.
Pengiktirafan tersebut bukan sekadar simbolik, tetapi membuka ruang pemeliharaan menerusi penubuhan persatuan dan kelab khusus untuk memperjuangkan kelangsungan seni wau traditional ini.
Menurut Pengerusi Kelab Wau Kapal Cagat Selangor, Selamat Nordin, penubuhan kelab itu menjadi platform penting untuk menyatukan penggiat wau serta merancang pelbagai aktiviti promosi dan pendidikan kepada masyarakat.

“Melaluinya kami dapat menggerakkan aktiviti secara lebih teratur, sama ada demonstrasi pembuatan wau, penyertaan program kebudayaan atau pendedahan kepada generasi muda supaya mereka lebih dekat dengan warisan ini,” katanya.
Usaha tersebut turut disokong oleh Pendemo Warisan Kelab Wau Kapal Cagat Selangor, Tarmiji Salihin, yang aktif memperkenalkan seni pembuatan serta simbolik Wau Kapal Selangor kepada masyarakat.
“Permainan wau terbahagi kepada dua kategori, iaitu wau tradisional dan wau moden atau lebih dikenali sebagai wau speed. Buat masa ini, wau speed lebih aktif dimainkan, terutama di kawasan seperti Sepang dan Banting,” katanya.
Bagaimanapun, wau tradisional seperti Wau Kapal Selangor memerlukan masa, kesabaran dan kemahiran seni yang tinggi, menyebabkan ia kurang mendapat tempat berbanding wau moden yang lebih ringkas dari segi struktur dan permainan.
Bagi Selamat Nordin, pengukuhan Kelab Wau Kapal Cagat Selangor merupakan langkah penting bagi memastikan seni wau tradisional sentiasa dapat diperkukuhkan.
Melalui pendekatan ini, hubungan antara penggiat lama dan generasi baharu dapat diperkukuh, sekali gus memastikan ilmu dan kemahiran tidak terhenti pada satu generasi sahaja.
WARISAN TURUN-TEMURUN
Tarmiji berkongsi bagaimana minatnya dan kemahiran dalam permainan wau ini mula daripada ayahnya.
“Saya bermain wau ini sejak 1970 lagi,” katanya.
Ketika itu, bermain wau merupakan aktiviti biasa yang dilakukan oleh penduduk kampung pada waktu petang.
“Aktiviti itu bukan sahaja menjadi hiburan, malah mengeratkan hubungan sesama masyarakat apabila dimainkan bersama rakan-rakan dan ahli keluarga,” katanya.
Menurutnya, minat terhadap pembuatan wau berkembang secara perlahan apabila melihat keindahan wau yang diterbangkan oleh penggiat lain dalam komuniti setempat.

SIMBOLIK BUNGA TANJUNG
Sebelum ini, masyarakat lebih mengenali Wau Bulan, Wau Kucing dan Wau Merak, sedangkan Wau Kapal Selangor ini juga sudah lama wujud namun kurang diketengahkan.
Sehubungan itu, usaha kini difokuskan untuk memperkenalkan wau ini di kesemua sembilan daerah di Selangor.
“Motif bunga tanjung telah ditetapkan sebagai simbol identiti rasmi Wau Kapal Selangor kerana mempunyai sembilan kelopak, melambangkan sembilan daerah di Selangor,” katanya.
Selain itu, setiap Wau Kapal Selangor turut menampilkan elemen berkaitan kapal laut. Manakala, bahagian atau wau melambangkan layar dan bahagian bawah menyerupai bentuk kapal.
“Hiasan tambahan seperti pelampung, tingkap, sauh dan ombak turut digunakan sebagai simbolik kehidupan maritim masyarakat terdahulu. Petani pada zaman dulu menggunakan motif bunga padi sebagai hiasan kerana ia dekat dengan kehidupan seharian mereka,” katanya.
Di bahagian penjuru wau pula, motif telepuk bunga tanjung dijadikan elemen utama yang melengkapkan keindahan wau itu.
Dari sudut reka bentuk, ekor Wau Kapal menyerupai perahu kecil yang biasa digunakan oleh nelayan untuk menangkap ikan.
JERAM SEBAGAI TITIK ASAL
Sejarah Wau Kapal Cagat Selangor tidak dapat dipisahkan daripada Jeram, pada sekitar tahun 1950-an merupakan sebuah pelabuhan penting dan bandar lama di pesisiran laut.
Kedudukannya yang berhampiran laut dan sungai menjadikan kawasan tersebut laluan pengangkutan utama sebelum kewujudan lebuh raya.
“Ketika itu, wau bukan sekadar permainan, tapi sebagai penanda arah kepada nelayan yang pulang ke darat,” katanya.
Nama Jeram sendiri dikaitkan dengan kewujudan sebatang pokok besar yang dulu dikenali sebagai ‘Jenderam’, sekali gus mengukuhkan kaitan Wau Kapal Selangor dengan sejarah dan identiti tempatan.

BULUH ASAS WAU
Dalam pembuatan Wau Kapal Selangor, buluh menjadi bahan asas utama. Buluh perlu ditebang, dikerikan dan diraut mengikut ukuran tertentu bagi memastikan rangka wau seimbang dan simetri.
Walaupun rangka wau boleh disiapkan dalam sehari namun, keseluruhan proses pembuatan mengambil masa sehingga dua atau tiga bulan.
Tarmiji menjelaskan setiap bahagian buluh mempunyai ukuran tertentu bergantung kepada saiz wau yang ingin dihasilkan.
Selamat percaya pembuatan wau bukan sekadar aktiviti seni, malah berpotensi menjana ekonomi.
“Sebuah Wau Kapal Selangor berharga antara RM300 hingga RM500 bergantung kepada kehalusan rekaan,” katanya.
Walaupun berdepan kekangan ruang dan penglibatan belia yang semakin berkurangan, penggiat warisan yakin usaha berterusan melalui kelab, bengkel dan program komuniti penting bagi memastikan Wau Kapal
Selangor terus dikenali dan tidak ditelan zaman.











