Nama Malaysia, Indonesia popular di Yemen

Nama Malaysia, Indonesia popular di Yemen

RUMAH tokoh agama Habib Omar Hafiz yang terletak di Tarim, Yemen
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA Yemen tidak ada dalam senarai destinasi bagi kebanyakan mereka yang sukakan mengembara atau melancong.

Cerita tentang keganasan, peperangan dan kemiskinan lebih menonjol di negara yang terletak Baharu

bersempadan dengan Arab Saudi dan Oman ini.

Namun, itu tidak semestinya menjadi halangan untuk sesiapa yang mahu mendapatkan pengalaman dan suasana yang lebih tepat tentang Yemen.

Apabila diberi peluang untuk menjejakkan kaki ke negara itu bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Al-Khair, saya dapat merasakan pengalaman dan gambaran sebenar, bukannya bersandarkan kepada cerita pihak kedua atau ketiga.

Hakikatnya, Yemen masih mempunyai tarikan dan potensi tersendiri di sebalik sisi negatif yang selalu dipaparkan.

Malah, ketika penerbangan menuju ke Yemen, kumpulan kami turut bertembung dengan lebih 20 rakyat Malaysia yang menuju ke destinasi sama.

Pada masa itu saya terus terfikir kenapa ramai pula yang mahu ke sana ?.

Rupa-rupanya mereka yang lengkap berjubah dan berkopiah ini mahu menziarahi kota Tarim yang turut disebut sebagai ‘Madina As-Siddiq’ dalam kalangan solafus soleh.

Bukan itu saja. Paling mengejutkan, ada beberapa pramugara syarikat penerbangan Yemenia Airways tahu banyak perkataan dalam bahasa Melayu.

Selepas ‘disiasat’ barulah saya tahu ramai rakyat Malaysia dan Indonesia yang datang berziarah ke Tarim.

Ada satu ketika, kerap kali juga saya berselisih dengan rakyat daripada ketiga-tiga negara ini di bahu jalan sekitar Kota Tarim apabila berkesempatan berkunjung ke sini.

Walaupun tidak sempat untuk bertegur sapa, daripada segi wajah dan pakaian sudah cukup untuk menonjolkan identiti mereka.

Dalam pada itu, saya yang turut berkesempatan melawat Tarim dapat melihat dan mengetahui lebih dekat tentang kota yang terletak dalam wilayah Hadramaut ini.

Apa yang menarik, kota ini dikatakan menjadi tempat berkumpulnya wali Allah SWT selain terdapat banyak pusat-pusat pengajian agama di sini.

Boleh dikatakan suasana keislaman dan sunah jelas terasa dan dapat dihayati di Tarim, lebih-lebih lagi dengan segala-galanya berlandaskan syariah di sini.

Paling penting, ketika saya berada di Tarim, gaya hidup masyarakat di sini lebih sederhana dan tidak sebagaimana di bandar-bandar besar termasuk Kuala Lumpur.

Maka tidak hairanlah Tarim menjadi tumpuan pelajar untuk melanjutkan pengajian agama termasuk dari Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Saya dalam masa yang sama turut berpeluang melawat Makam Nabi Hud dan Masjid Al-Mudhar selain sebuah bukit yang menjadi tempat menarik untuk melihat pemandangan kota berkenaan.

Di samping itu terdapat sebuah menara di masjid berkenaan yang diperbuat daripada tanah liat dan dikatakan antara tertinggi di dunia dengan berketinggian 40 meter serta berusia lebih 100 tahun.

Itu belum lagi bercerita tentang landskap batu di beberapa kawasan sekitar Tarim dan daerah berhampiran yang pastinya terasa seperti berada di Grand Canyon, Amerika Syarikat (AS). Sebenarnya, banyak yang boleh di terokai di Tarim dan Yemen sendiri.

Jujur saya katakan, negara yang terpalit dengan pelbagai isu ini mempunyai potensi besar untuk terus berkembang terutama dalam sektor pelancongan seandainya dijaga dengan baik.

Bagaimanapun, disebabkan krisis dan peperangan, segala potensi yang ada ‘terkubur’ sehingga rakyat merana.

Sesungguhnya terlalu banyak perkara yang kita boleh pelajari dari Yemen bagi memastikan kemakmuran Malaysia kekal terpelihara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×