Penghidap penyakit radang usus boleh menjalani ibadah berpuasa seperti biasa sepanjang Ramadan.
Bagaimanapun ia bergantung kepada tahap kesihatan yang dialami oleh seseorang pesakit. Pesakit radang usus yang tidak aktif atau sederhana, boleh menjalankan ibadah puasa seperti biasa.
Pakar Perunding Kanan Gastroenterologi, Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Prof. Dr. Raja Affendi Raja Ali berkata, pesakit yang mengalami radang usus aktif pula tidak digalakkan berpuasa.

“Pesakit yang radang ususnya terlalu aktif dengan ciri-ciri kerap mengalami cirit-birit, buang air besar berdarah dan muntah, tidak digalakkan berpuasa kerana ia boleh memudaratkan pesakit.
“Ini kerana apabila penyakit radang usus sedang aktif, pesakit akan mengalami kehilangan air daripada badan dan menyebabkan mereka tidak bermaya. Keadaan ini dikhuatiri akan lebih teruk jika berpuasa,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
“Apabila berpuasa, pesakit perlu memastikan mereka makan makanan seimbang yang mengandungi tinggi kandungan protein seperti ikan dan ayam, karbohidrat seperti nasi, mi atau pasta.
“Makanan yang mempunyai serat yang tinggi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran boleh dimakan ketika bersahur dan berbuka bagi memastikan dinding usus tidak meradang,” katanya.
Tambah beliau lagi, amat penting bagi setiap pesakit radang usus untuk meminum air dengan kadar yang secukupnya iaitu lapan gelas sehari bagi mengelakkan daripada mengalami dehidrasi ketika berpuasa.
Pesakit juga tidak perlu bimbang untuk memakan sebarang makanan selagi makanan berkenaan menyihatkan kerana tiada sekatan dalam pengambilan makanan untuk pesakit radang usus.
“Sepanjang Ramadan, pesakit masih perlu memakan ubat yang dibekalkan oleh pihak hospital atau oleh doktor. Bagaimanapun, pesakit boleh menukar waktu pengambilan ubat di waktu malam.”katanya.
Manfaat berpuasa kepada pesakit
Dr. Raja Affendi berkata, berpuasa sebenarnya banyak memberikan manfaat secara umum kepada penghidap radang usus yang tidak aktif.
“Secara umumnya, berpuasa boleh menurunkan berat badan, meningkatkan metabolisma badan, mengurangkan risiko kencing manis serta memberi waktu rehat kepada sistem pencernaan dan penghadaman manusia.
“Terdapat juga kajian yang menunjukkan berpuasa dapat meningkatkan sistem imun serta menjaga keseimbangan mikroorganisma yang terganggu akibat pengambilan gula, lemak, karbohidrat dan protein yang berlebihan semasa tidak berpuasa,” katanya.
Ramai lelaki hidap radang usus
Sebelum itu, Dr. Raja menyampaikan Syarahan Perdana Profesor yang ke-211, bertajuk Rawatan Terkini dan Hala Tuju Penyelidikan Berimpak Tinggi Penyakit Radang Usus Di Malaysia di Dewan Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia, baru-baru ini.
Beliau berkata, penyakit radang usus (IBD) adalah penyakit radang kronik saluran gastrousus yang mempengaruhi semua aspek kehidupan. Penyakit radang usus terdiri daripada penyakit Crohn (CD) dan kolitis ulseratif (UC).
Dr. Raja Affendi berkata, penyakit ini dikesan atau didiagnosis di bawah garis di Malaysia, dengan purata kes 0.69 bagi setiap 100,000 penduduk.
“Kajian menunjukkan terdapat peningkatan yang berterusan dalam insiden penyakit radang usus di Malaysia sejak beberapa dekad yang lalu dan pola peningkatan ini amat ketara dalam tempoh 10 tahun yang lalu.
“Ini disebabkan oleh kempen kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan ujian pengesanan awal.
Di Malaysia, hasil kajian mendapati kadar diagnosis UC lebih tinggi berbanding CD saban tahun. Majoriti golongan lelaki lebih cenderung untuk menghidap UC berbanding wanita. Kaum India pula adalah yang tertinggi mengalaminya. Kekerapan ini diikuti Melayu dan Cina.
Makanan punca radang usus
Dr. Raja Affendi berkata, terdapat pelbagai punca berlakunya penyakit radang usus terutama faktor genetik yang menyumbang sebanyak 70 peratus di Asia Pasifik dan faktor terbesar di barat.
“Pengambilan antibiotik berlebihan, makanan berlemak dan gula serta makanan ultra proses adalah faktor utama meningkatnya kes radang usus dalam masyarakat hari ini.
“Faktor persekitaran juga boleh menyumbang kepada risiko kanser usus seperti mengalami stres yang berpanjangan terutama di tempat kerja,” katanya.
Tambah Dr. Raja Affendi, mikrobata atau mikro organisma yang tinggal di dalam usus memulakan proses inflamasi atau radang dalam usus.
Gejala radang usus
Penghidap penyakit radang usus biasanya akan mengalami cirit -birit, sakit perut berpanjangan, turun berat badan, mata merah,sakit sendi lama dan sakit belakang berpanjangan.
“Kadang kadang kesakitan yang dialami tidak dapat diluahkan sebab memakan masa untuk dikenalpasti.
“Setiap pesakit mengalami petanda atau gejala berbeza yang menyebabkan pendekatan rawatan diberikan termasuk ubat yang berbeza bagi setiap pesakit,” katanya.
Dr. Raja Affendi berkata, rawatan tambahan seperti probiotik didapati memberi impak positif pada saluran gastrousus, lanskap mikrobiota dan kekerapan penyakit radang usus. -UTUSAN










