AIU: Anak peniaga goreng pisang terima Anugerah Khas Sharifah Rokiah

AIU: Anak peniaga goreng pisang terima Anugerah Khas Sharifah Rokiah

MASRANI Awang bergambar bersama ibunya, Rosmiati Arase, 64 pada Konvokesyen AIU di Alor Setar, Kedah, hari ini. - FOTO/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang anak penjual goreng pisang dari Sandakan, Sabah menerima Anugerah Khas Sharifah Rokiah sempena majlis Konvokesyen Pertama Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) di sini hari ini.

Masrani Awang, 26, graduan Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran) menerima anugerah tersebut yang diadakan sempena nama ibu pengasas universiti berkenaan daripada Canselor AIU, Prof Muhammad Yunus.

Menurut Masrani, anak sulung daripada dua beradik ini, dia beruntung kerana berpeluang melanjutkan pengajian di universiti tersebut walaupun dihimpit dengan pelbagai kesukaran hidup.

“Selepas menamatkan pengajian diploma dalam jurusan Undang-undang dan Syariah saya memang menyimpan hasrat untuk menyambung pelajaran namun terfikir juga tentang kosnya.

“Atas sebab itu saya berasa beruntung apabila menerima tawaran biasiswa dari UIA pada 2018. Rezeki saya di sini. Selepas masuk sahaja saya sudah menanam hasrat untuk cemerlang kerana ingin balas jasa pengasas AIU dan ibu bapa saya,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.

Menyentuh tentang resipi kejayaannya kata Masrani, dia fokus dalam setiap aktiviti yang dilakukan baik di dalam bilik kuliah mahupun di luar termasuk menyertai pelbagai aktiviti kurikulum.

“Semuanya harus seimbang dari segi akademik mahupun sukan dan kepimpinan. Saya memang tidak menyangka dapat menamatkan pengajian dan dapat anugerah ini di sebalik pelbagai cabaran termasuk Covid-19 ini,” katanya yang turut menerima Anugerah Naib Canselor.

MARIYAM Ramshau Ilyas, penerima Anugerah Naik Canselor pada Konvokesyen AIU hari ini. – FOTO/SHAHIR NOORDIN

Dalam pada itu menurut seorang lagi penerima Anugerah Naib Canselor, graduan Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Sumber Manusia) Karim Mohamed Ahmad Abdelaal, 25, dari Mesir berkata, dia berharap dengan kecemerlangan yang dicapainya itu melayakkan di menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Saya akan menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah di Universiti Sains Malaysia selepas ini. Sekarang saya berniaga dengan membuka syarikat sendiri berkaitan pembangunan laman web untuk mengumpul wang membiayainya.

“Saya berbesar hari kerana mendapat peluang belajar di AIU dan ditanggung sepenuhnya ia sedikit sebanyak memberi saya peluang untuk meningkatkan taraf kehidupan saya serta keluarga di Mesir,” katanya yang bercita-cita menjadi pensyarah.

Seorang lagi graduan, Mariyam Ramshau Ilyas, 22, dari Kepulauan Maldives yang turut menerima Anugerah Naib Canselor itu berkata, dia kemungkinan masih bergelut untuk mendapatkan wang bagi membiayai pengajiannya jika tidak menerima tawaran AIU.

“Di Maldives saya sangat bergelut kerana keluarga saya susah. Bapa tidak bekerja dan ibu seorang guru. Yuran pengajian di sana amat tinggi dan saya terpaksa bekerja untuk menyimpan wang.

“Jadi apabila menerima tawaran AIU ini, ia sesuatu yang sangat berharga. Atas sebab itu saya konsisten sepanjang pengajian di sini dan belajar bersungguh-sungguh. Ijazah dan anugerah yang saya bawa pulang ini sangat bermakna,” kata graduan Pentadbiran Perniagaan ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.