Sewa kereta balik kampung: Jimat atau sekadar melaram?

Sewa kereta balik kampung: Jimat atau sekadar melaram?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kurang dua minggu lagi umat Islam bakal menyambut kedatangan Aidilfitri.

Persiapan raya pasti sedang rancak dilakukan.

Tidak lama lagi juga, jalan raya akan dipenuhi dengan kenderaan memandangkan ramai warga kota berpusu-pusu untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Bercakap soal balik kampung, amalan menyewa kereta untuk pulang beraya sudah menjadi trend masa kini.

Ada segelintir sanggup mengeluarkan sedikit bajet dengan menyewa kereta untuk pulang ke kampung setiap kali tibanya musim perayaan.

Adakah ia lebih menjimatkan daripada menaiki pengangkutan awam atau ia sekadar untuk melaram di hari raya?

Pakar kewangan, Mohd. Zulkifli Shafie berkata, jika dilihat dari sudut pengurusan kewangan, menyewa kereta untuk pulang ke kampung adalah pilihan menjimatkan terutama bagi yang memiliki keluarga besar.

Katanya, sesetengah keluarga terpaksa membeli kereta bersaiz besar hanya untuk pulang ke kampung sedangkan pada waktu-waktu lain mereka cuma memerlukan kereta bersaiz sedan atau kecil sahaja.

“Misalnya beli kereta mahal dan besar sebab nak balik kampung bila raya atau beberapa kali dalam setahun, kos bulanan kereta itu mencecah RM3,000 hingga RM4,000. Jumlah keseluruhan dalam setahun yang perlu dibayar dianggarkan RM30,000.

“Beli kereta bukan melibatkan bayaran bulanan sahaja, malah ia menuntut penjagaan dan penyelenggaraan berkala yang memakan kos.

“Tetapi, jika menyewa, anggaran kos dalam sekitar beberapa ratus atau ribu sahaja mengikut tempoh masa pinjam. Jadi, daripada beli kereta besar semata-mata untuk digunakan beberapa kali dalam setahun, lebih baik menyewa sahaja,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Berpada-pada
Tambahnya, kaedah itu turut menjimatkan kos terutama pada musim perayaan kerana menggunapakai konsep pay per use iaitu bayar apabila digunakan sahaja.

Oleh itu, bagi yang merancang untuk menyewa kereta perlu mempunyai perancangan dan anggaran bajet sejak awal supaya kewangan diuruskan dengan baik.

Malah, pemilihan kereta sewa pula cukup sekadar untuk menampung kapasiti ahli keluarga.

“Terutama untuk yang keluarga besar, ambil tahu harga sewaan kereta dan peruntukan bajet untuk itu.

“Harus diingat, sewa kereta mengikut keperluan bukan kehendak. Ikut kapasiti ahli keluarga dan jangan berlebih-lebihan.

“Kita tahu masa hari raya inilah keluarga dan saudara-mara berkumpul dan hendak tunjuk kejayaan masing-masing tetapi tidak perlu sampai sewa kereta untuk melaram. Orang kita ini sebenarnya kewangan ‘sakit’ bukan sebab sara hidup tetapi kerana gaya hidup,” katanya.

Kereta sewa laku keras menjelang raya
Pengurus syarikat penyedia kereta sewa Mr Dedi, Haziq Zakaria berkata, permintaan terhadap kereta sewa sememangnya meningkat setiap kali Ramadan dan musim perayaan.

Katanya, kebanyakan penyewa pula memilih kenderaan serbaguna (MPV) seperti Perodua Alza, Proton Ertiga, Vellfire dan Aplhard.
Paling menjadi pilihan ramai adalah Hyundai Starrex yang boleh memuatkan 11 hingga 12 orang dalam satu kereta.

“Kereta ini yang selalunya laris dan sudah habis ditempah untuk Syawal nanti.

“Kebanyakan penyewa adalah yang berkeluarga. Orang bujang ada juga sewa kereta, tetapi tidak ramai,” jelasnya.

Beroperasi di Ipoh, Perak, katanya, harga kereta sewa bermula daripada RM110 hingga RM900.

Bagaimanapun, harga dan pakej promosi turut ditawarkan pada musim perayaan.

“Untuk promosi, kita bagi sewa lima hari dapat diskaun RM50. Sewa tujuh hari dapat percuma dua hari.

“Manakala, jika sewa selama 14 hari pula, dapat percuma 16 har,” katanya yang menjalankan perniagaan kereta sewa sejak 2012.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×